AHLI PARLIMEN Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik analogi ‘kek ekonomi’ yang digunakan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi debatnya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ciapan di Twitter, Syed Saddiq berkata kek untuk rakyat hakikatnya akan dibahagikan sebahagian kecil sahaja, sedangan kek untuk orang politik pula diumpamakannya seperti kek kahwin mewah dan dibahagikan satu kek untuk seorang.
“Kek rakyat, hiris nipis, bahagi 5 untuk satu keluarga.
“Kek ahli politik elit, kek kahwin 9 tingkat seorang dapat satu.
“Ini ke kek ekonomi yang dimaksudkan? Apa pendapat korang?,” Ciapnya.
Najib, pada debat perdana Khamis lalu mengulas masa depan negara dengan berkata, soal ekonomi perlu mempunyai dua cabang iaitu ekonomi kapital dan ekonomi rakyat.
Menyentuh soal ekonomi rakyat, Najib menggunakan analogi bahawa ekonomi negara seperti sebuah kek, yang perlu dibesarkan supaya ia dapat diagihkan kepada semua lapisan masyarakat.
Bagaimanapun Anwar ketika menjawab kenyataan Najib itu secara sinis berkata: "Jika nak besarkan kek ekonomi, harus dipastikan kek itu tidak hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja.
“Sebab itu kalau ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa nak tentukan pembahagian itu adil? Orang tengok kek itu, elit politik makan banyak. Macam filem musang berjanggut - satu untuk kamu, satu untuk aku. Untuk aku banyak, untuk kamu sikit," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN)itu.
Sementara itu, Syed Saddiq menerusi video yang dikongsikan dalam siri Twitter beliau mengingatkan bahawa 600,000 keluarga pertengahan M40 telah tergelincir ke kumpulan B40.Bagaimana nak pastikan pembahagian kek adil?
“Hari ini semua harga naik. Harga rumah naik, harga makanan dan harga minyak (juga naik). Tapi yang tak naik-naik gaji rakyat kita. Dulu graduan 10 tahun lepas gaji RM2,000. Kini kita pun RM2,000,” katanya.
0 Comments