PRESIDEN UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar audit forensik turut dilakukan ke atas syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (SEB).
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian sebagai mengulas debat perdana antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Anwar baru-baru ini berhubung masa depan SEB.
"Syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh PNB seperti Sapura Energy di mana terdapat lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan mesti bantu.
"Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih sepuluh ribu tenaga kerja dan lebih tiga ribu vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, Petronas sesuai untuk mengambil alih dan melakukan ‘turn-around’ sesegera mungkin.
"Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ia lebih telus," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM) di Kuala Lumpur semalam.
SEB dilapor mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama sebelum ini
Najib menggesa SEB perlu diselamatkan dengan mencadangkan supaya syarikat minyak nasional Petronas mengambil alih kepentingan syarikat itu daripada diisytiharkan muflis.
Anwar pula menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap SEB dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.
"Kita mesti bermula dengan audit forensik apa yang berlaku, bagaimana perjanjian dibuat, siapa ambil komisyen, arahan siapa dan orang politik mana terlibat? Itu semua kita kena tahu sebelum kita campur.
"Kalau tidak, kita buat andaian semuanya okey. Ini tidak benar. Kita dah tengok (kes syarikat bermasalah) Malaysia Airlines Berhad, Perwaja Steel Sdn Bhd dan banyak masalah-masalah lain yang harus jadi pengajaran kepada kita. Tetapi tidak ada forensik audit," katanya.Cari punca kerugian SEB melalui audit forensik
Tambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, untuk membantu SEB, kerajaan seharusnya melakukan unjuran dengan perlu mendapatkan kepakaran, pengurusan baik yang tidak menyalahgunakan kuasa dan memiliki keupayaan untuk menyelesaikan apa-apa masalah serta kemelut dihadapi.
0 Comments