PENGERUSI #SaveKelantan, Datuk Husam Musa mendakwa ada kalangan pemimpin kerajaan negeri Kelantan 'ketagih' meluluskan kawasan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) negeri itu untuk dijadikan kawasan Ladang Hutan.
Dakwaan itu dibuat Husam dalam satu wawancara yang mula disebarkan bagi menerangkan kenapa beliau menentang projek Ladang Hutan yang ada sekarang.
“Ia sudah umpama ketagihan, tidak boleh berhentikan lagi,” kata bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri itu dipetik.
Tambahnya, kegiatan itu berlaku kerana hasil yang diperolehi oleh tauke balak melalui projek tersebut lebih besar berbanding dengan mendapat kawasan balak biasa.
“Dapat kawasan Hutan Simpan Kekal untuk dijadikan Ladang Hutan lebih besar untungnya kerana semua jenis pokok boleh ditebang atau tebang habis berbanding dengan kawasan balak biasa.
“Kawasan balak biasa dibuat secara tebangan terpilih atau selective logging bukan tebang habis.
“Jadi kalau kita boleh dapat ikan tenggiri bakar buat apa kita layan ikan kembung bakar,” kata dipetik wawancara itu yang turut dilapor di portal Malaysia dateline.
Menurut Husam, projek Ladang Hutan bermula secara besar-bersaran di Kelantan selepas tahun 1999 ketika beliau adalah ahli Parlimen Kubang Kerian dan bukan berada dalam kerajaan negeri.
“Pada masa itu yang jadi Exco adalah Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Sumber Asli sekarang.
“Datuk Nik Amar juga adalah ahli Parlimen dan bukan dalam Exco tetapi dia adalah Ahli Lembaga Kelantan Darul Naim (Yakin) yang turut terlibat dengan projek Ladang Hutan ini.
“Sudah tentu, dia sedikit sebanyak tahu tentang Ladang Hutan ini,” dakwa Husam lagi.
Difahamkan melalui laporan itu, isu Ladang Hutan menjadi topik panas di kalangan aktivis alam sekitar berikutan pelbagai pendedahan yang dibuat termasuk #SaveKelantan yang dipengerusikan Husam.
Mereka mendedahkan tanah hutan seluas tiga kali ganda pulau Singapura dibenarkan untuk pembalakan termasuk untuk dibuat Ladang Hutan.Projek Ladang Hutan lebih lumayan kata Husam
Save Kelantan turut mendedahkan imej satelit tentang pemusnahan hutan secara besar-besar di Hutan Simpan Nenggiri, Kuala Krai.
0 Comments