"Cash is rakyat' kenyataan Najib tak ada logik

 


PENJELASAN bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berhubung ungkapan "cash is king” (duit itu raja) semasa debat perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik kerana disifatkan sebagai tidak logik.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke melalui hantaran di Facebooknya berkata, beliau  tidak faham logik Najib–bahawa ‘king’ itu merujuk kepada rakyat.

"Maksudnya "cash is rakyat"?

“Saya tak faham logik tersebut," katanya bekas Menteri Pengangkutan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Dalam Debat Perdana semalam, Najib berkata dia menggunakan pendekatan "cash is king", antaranya dengan memberi bantuan tunai BR1M, lebih mudah membantu rakyat ketika susah.

Menurutnya, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat yang diperkenalkan bawah pentadbiran berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.

Anwar ketika menjawab hujah Najib itu menegaskan bahawa budaya yang diamalkan itu hanya akhirnya akan mewujudkan “sindrom kebergantungan” yang bermaksud golongan miskin akan sentiasa bergantung kepada elit politik untuk bantuan dan terasa terhutang budi tanpa satu penyelesaian jangka panjang.

Anthony Loke sementara itu menegaskan bahawa beliau lebih bersetuju dengan pendirian Anwar bahawa "cash is king" mewujudkan “sindrom kebergantungan” rakyat kepada elit politik.
 
Sementara itu, dalam debat berkenaan Najib menggunakan analogi bahawa ekonomi negara seperti sebuah kek, yang perlu dibesarkan supaya ia dapat diagihkan kepada kesemua lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata Kerajaan Barisan Nasional sewaktu zamannya banyak mewujudkan projek berskala besar, dan juga melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Bagaimanapun Anwar menegaskan bahawa biarpun projek mega itu perlu untuk mengukuhkan ekonomi negara, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, namun tiada gunanya jika ia tidak berpaksikan kepada prinsip integriti

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu sempat menyindir analogi Najib dengan berkata " kalau ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa nak tentukan pembahagian itu adil? Orang tengok kek itu, elit politik makan banyak. Macam filem musang berjanggut - satu untuk kamu, satu untuk aku. Untuk aku banyak, untuk kamu sikit.

Anthony Loke lebih setuju pandangan Anwar
"Dibangkitkan soal GST, saya pernah sebut, dan ini pernah diulang oleh Datuk Seri Najib, bahawa ia satu sistem yang efisyen. Tapi rakyat yang sekarang ini menganggur, pendapatan rendah, janganlah kutip dari dia,” katanya lagi.

Sebagai rekod, kerajaan pimpinan Najib tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu antaranya susulan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pelaksanaan GST yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat dan membebankan mereka.


Post a Comment

0 Comments