Suhakam bimbang siasatan terhadap hakim wujudkan duluan negatif

 


LANGKAH pihak berkuasa antirasuah menyiasat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mungkin mengundang masalah yang lebih besar, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Melalui satu kenyataan, Suruhanjaya itu berkata, apabila hakim Mahkamah Rayuan itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada risiko untuk badan kehakiman negara dihujani dengan pelbagai tuduhan remeh.

Sambil mempersoalkan motif SPRM menyiasat hakim yang sebelum ini mengadili perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak itu, mereka berpandangan ia akan mewujudkan duluan negatif serta berbahaya dan ia boleh melemahkan kebebasan badan kehakiman negara.

“Ini juga boleh membuka pintu kepada lebih banyak pertuduhan remeh dan menyusahkan, selain penyalahgunaan proses oleh agensi penguatkuasa terhadap badan kehakiman.

“Suhakam menyokong pandangan bahawa semua hakim mesti mempunyai ruang yang sesuai untuk melaksanakan tugas mereka dengan cara yang jelas kepada semua, dan proses dan keputusan kehakiman adalah bebas daripada sebarang campur tangan, beralasan dan jujur.

“Paling penting adalah mustahak untuk keadilan bukan sahaja dilihat dilaksanakan tetapi mesti dilakukan mengikut undang-undang,” kata Suhakam.

Tindakan SPRM menyiasat Hakim Mohd Nazlan dikritik banyak pihak terutama dari pemimpin pembangkang, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) bimbang tindakan itu satu cubaan bagi menekan institusi kehakiman negara.

Sementara Pengerusi DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa hairan mengapa siasatan segera dijalankan ke atas Hakim itu yang berdasarkan dakwaan seorang penulis blog dalam buruan, sementara kertas siasatan berkenaan kes membabitkan Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki masih tidak dibuka.

Terdahulu, Raja Petra Kamaruddin mendakwa Mohd Nazlan menerima RM1 juta daripada rakyat Malaysia yang dikehendaki polis, Jho Low.

Mohd Nazlan menafikan dakwaan tersebut dan dia turut membuat laporan polis mengenai tuduhan yang dikaitkan dengannya.

Sebagai rekod, Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila mengendalikan tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram ke atas Najib dam mensabitkan bekas perdana menteri itu atas semua tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.

Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO kemudian dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Suhakam bimbang berlaku salahguna kuasa agensi
Dalam kenyataan sama Suhakam menegaskan dalam perlembagaan negara sudah ada peruntukan khas mengenai kaedah mengendalikan sebarang tuduhan salah laku seseorang hakim.

“Suhakam bersetuju dan menyokong prinsip pengasingan kuasa untuk memastikan integriti serta kebebasan badan kehakiman dilindungi, selain mengelakkan sebarang campur tangan atau tekanan politik terhadap mana-mana anggota badan kehakiman pada bila-bila masa,” kata mereka.

Post a Comment

0 Comments