Pihak berkuasa digesa buka semula siasatan kes beli kapal selam

 


PIHAK berkuasa negara ini digesa membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002.

Gesaan itu disuarakan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin selepas media antarabangsa,AFP melaporkan seorang hakim di Perancis mendakwa bahawa Thales, iaitu syarikat pertahanan multinasional berpangkalan di negara itu terlibat dalam rasuah penjualan kapal selam Scorpene dan Agusta kepada Malaysia.

“DCN, syarikat yang menjual kapal selam kepada Malaysia pada 2002 kini merupakan sebahagian daripada Thales.

“Wajar pihak berkuasa Malaysia membuka semula siasatan ke atas pembelian ini memandangkan jelas berlaku salah laku melibatkan pihak di Malaysia. Mana mungkin rasuah boleh berlaku jika tiada penerima yang boleh mempengaruhi keputusan pembelian berkenaan,” kata Zaidel dalam kenyataan.

Kes yang mencetuskan polemik itu pada asalnya dibuka pada 2010. Najib Razak adalah Menteri Pertahanan ketika perjanjian perolehan dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah Agosta dari unit limbungan tentera laut DCN Perancis (kini sebahagian daripada Thales) itu ditandatangani, membabitkan nilai kontrak AS$1.2 bilion (RM5,2 bilion).

Pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat perjanjian pembelian itu dan beliau dituduh menyembunyikan kos tambahan 114 juta euro (RM529 juta) bagi kerja perunding oleh sebuah firma yang mana Abdul Razak adalah pemegang saham terbesar.

Pada 2018. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang turut dikaitkan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Sementara itu tegas Zaidel, sejak awal pembelian dua kapal selam itu menimbulkan pelbagai syak wasangka.

Siasatan kes beli kapal selam wajar disambung
“Antaranya ialah apabila (Abdul) Razak Baginda, yang dikatakan rapat dengan Najib ketika itu secara terbuka mengaku menerima bayaran sebanyak EU30 juta (RM137 juta) sebagai ‘konsultan’ kepada projek berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan ke atas kes itu penting kerana ia melibatkan aset strategik keselamatan negara.

“Malang sekiranya kedaulatan dan keselamatan kita diancam bukan oleh pihak luar, tetapi oleh pemimpin dan orang dalam yang rakus lagi haloba,” menurutnya.