Raya dah dekat, Hannah gesa k'jaan bantuan mangsa banjir kilat


KERAJAAN
Persekutuan digesa menyalurkan bantuan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 kepada mangsa banjir kilat di ibu negara pada Isnin.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh melalui satu kenyataan berkata tinjauan di lokasi banjir menyaksikan pelbagai kerosakan harta benda yang teruk.

Malah menurutnya banyak rumah dimasuki air sedalam dua kaki sekaligus menjejaskan persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah. Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

“Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Wilayah Persekutuan (Shahidan Kassim) untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan itu.

Keadaan hujan lebat yang berterusan lebih satu jam pada petang Isnin telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota dinaiki air dan menyebabkan banjir.

Dilaporkan keadaan air naik dengan pantas ini ditambah dengan paras air sungai yang meningkat secara mendadak

Seorang penduduk Segambut Dalam, Faris Norhisham dipetik laporan Kosmo berkata, kejadian banjir awal minggu itu disifatkans ebagai paling teruk.  

“Kalau di sini hujan memang potensi untuk banjir tetapi hujan yang kali ini yang paling teruk kerana parasnya yang tinggi dan airnya juga deras,” ujarnya dipetik laporan itu.

Sementara itu  Hannah berkata, antara lokasi terkesan akibat banjir kilat semalam adalah Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay.

Hannah gesa cari penyelesaiaan masalah banjir
“Keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal. Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

“Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi Kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur,” kata bekas Speaker DUN negeri Selangor itu.

Post a Comment

0 Comments