Rafizi 'derma' RM70,000 wang menang saman NFC kepada umum

 


WANG RM70,000 yang dianugerahkan Mahkamah Persekutuan kepada Rafizi Ramli yang menang dalam kes saman National Feedlot Corporation (NFCorp) akan disumbangkan semula bagi membantu orang awam.  

Rafizi yang merupakan Naib Presiden KEADILAN melalui media sosial berkata, wang itu bakal digunakan sebagai biasiswa dan bantuan kecil.
 
"Hari ini, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berpihak kepada saya dalam saman fitnah NFC.

"Saya telah mendedahkan skandal NFC pada tahun 2011 yang membawa tiga kes undang-undang terhadap saya. Saya menang kesemua kes.

"Jumlah (wang) yang dianugerahkan kepada saya akan dikembalikan kepada orang ramai sebagai biasiswa dan bantuan kecil," katanya dalam ciapan di Twitter.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan NFCorp dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail, terhadap penolakan saman fitnah mereka ke atas Rafizi berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Rafizi berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu.

Katanya, Mahkamah berpandang Rafizi juga menyatakan setelah percaya dengan jujur bahawa dakwaannya benar - telah menjalankan tugas untuk mendesak ketelusan dalam penggunaan dana awam.

Rafizi yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh turut dianugerahkam ganti rugi kos RM70,000. NFC dan Salleh pula diwakili peguam Shafee Abdullah.

Terdahulu Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013 yang mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Rafizi menang semua kes berkaitan NFC terhadapnya
Pada 2016, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan rayuan Rafizi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Ia mengarahkan RM150,000 yang dibayar kepada Salleh dikembalikan dan menganugerahkan kos RM110,000 kepada Rafizi.
 

Post a Comment

0 Comments