Putrajaya digesa laksana dasar ebih baik berhubung pelarian


PUTRAJAYA
digesa segera melaksanakan dasar yang lebih baik berhubung pelarian dan pencari suaka.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Subang Wong Chen susulan kejadian 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot sementara di Kedah pada Selasa.

Wakil rakyat dari KEADILAN itu berkata, pihak berkuasa mesti memastikan tahanan yang ditangkap semula tidak dihukum kerana melarikan diri dan menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberi akses kepada pelarian dan memeriksa depot.

Beliau juga menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan memanggil Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bagi menjawab beberapa isu asas mengenai dasar pelarian di negara ini.
 
“(Kejadian) ini harus dilihat bukan sebagai satu tragedi kemanusiaan tetapi untuk menimbulkan kesedaran mengenai dasar supaya kerajaan bersikap lebih telus dan berusaha dengan lebih lagi untuk membantu pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia.

“Menteri perlu menjawab mengapa kerajaan menghalang UNHCR daripada mendapat akses penuh kepada pelarian di Malaysia.

“Menteri perlu mendedahkan berapa banyak yang kita belanjakan untuk mengurus pelarian dan bertanggungjawab secara fiskal ke atas semua perbelanjaan.

“Beliau juga perlu merombak, membangun dan melaksanakan dasar dan peruntukan pentadbiran yang lebih baik untuk memproses permohonan suaka,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian pada awal pagi itu, 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen sementara di Bandar Baharu, Kedah.  

Polis berjaya menangkap semula 357 orang, manakala enam terkorban ketika cuba menyeberangi lebuh raya berdekatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar dipetik laporan media berkata, seorang lelaki berumur lingkungan 30-an yang merupakan tahanan lama di depot berkenaan dipercayai menjadi dalam kepada insiden melarikan diri itu.

Sementara itu Wong Chen dalam kenyataanya turut mengingatkan Hamzah bahawa ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) kini menjadi aspek penting yang boleh menjejaskan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan menggesa menteri itu mengambil pendekatan bersifat kemanusiaan.

Justeru beliau mahu Putrajaya bersikap telus mengenai insiden yang berlaku di depot Sungai Bakap dan keadaan di pusat tahanan imigresen lain.

Putrajaya digesa telus dalam isu pelarian
“(Kejadian) ini nampaknya bukan seperti insiden yang dirancang dengan bantuan pihak luar kerana pelarian-pelarian ini, termasuk kanak-kanak, dilaporkan hanya berjalan berkaki ayam tanpa makanan atau minuman mahupun destinasi yang jelas.

“Bagi saya, nampaknya apa yang mereka mahu lakukan adalah lari sejauh mungkin dari pusat tahanan. Jelasnya, ini adalah tindakan yang sangat terdesak,” katanya dipetik.