Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA | Pemimpin taubat rakyat selamat! Di sebalik kita puasa makan minum, puasa nafsu syahwat, puasa pancaindera, tidak keterlaluan jika dikatakan pemimpin dan ahli politik harus juga puasa politik.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah sejauh manakah berlakunya pengasahan batin politik pada bulan Ramadan yang mulia atau adakah mereka pernah merenunginya? Mengasah hati, jiwa, keyakinan di samping menajamkan fikiran, kesedaran, dan tindakan yang lebih diarahkan ke dalam diri iaitu melihat ke dalam merupakan renungan, introspeksi, iluminasi, pembetulan diri, permurnian diri dan peningkatan kualiti diri terhadap tindakan-tindakan politik yang kita lakukan. Pernahkah ahli politik memikirkan semua ini?
Bagi ahli politik bulan ramadan boleh digunakan sebagai bulan renungan dan permurnian diri. Sejauh mana kepolitikan mereka khusus dalam keputusan yang diambil tidak membeban, menganiayai dan menzalimi rakyat? Adakah segala tindak tanduk mereka semasa pilihan raya negeri umpamanya bersandar dan bermotifkan hanya untuk Allah swt dan kepentingan rakyat dan tidak berhajat kepada kepentingan-kepentingan diri dan kelompok lain yang tersurat dan tersirat?
Jika mereka merenungi perkara ini dengan berpuasa politik, mereka dapat mengelak daripada fitnah, rasuah dan mainan politik kotor dalam bulan ramadan ini dengan meminta ampun kepada Allah dan jika terdapat keputusan-keputusan yang lakukan menzalimi dan menyusahkan rakyat, maka sebaiknya mereka bertaubat.
Pemimpin
bertaubat rakyat selamat! Malah terdapat kalangan ahli politik yang
mengerjakan umrah pada bulan yang mulia ini. Semoga doa mereka dengan
bertaubat di hadapan Kaabah akan membawa keberkatan kepada negara dan
rakyat.
Dalam hubungan ini semoga segala doa kesejahteraan dan bertaubat akan merealiti pada bulan pasca Ramadan, bulan Syawal diraikan sebagai bulan kemenangan menjauhkan diri daripada politik nafsu untuk kembali ke fitrah ilahi, segala keinsafan daripada perbuatan politik jahat yang dilakukan 11 bulan lepas sebelum Ramadan menjadi kenyataan pada bulan Shawal ini dan bulan-bulan seterusnya.
Lailatul Qadar dapat dinilai apabila seseorang yang menghayati dan merealiti apa yang mereka jauhi dan menahan diri daripada melakukanya bulan Ramadan dan terus mengamalkan pada bulan selepasnya. Itulah Lailatul Qadar sebenar.
Bagi ahli politik bulan ramadan boleh digunakan sebagai bulan renungan dan permurnian diri
Jangan sekadar berhenti daripada memain politik, bersifat
tawaduk pada bulan puasa sebagai menghormati bulan yang mulia ini
tetapi sebaik sahaja takbir raya berkumandang ahli politik kembali
kepada tabiat asal dengan strategi politik membolot kuasa dan melakukan
rasuah politik dengan penuh nafsu syahwat, maka ini bermakna ia bagaikan
mencurah air di daun keladi. Puasa tida menbawa keinsafan kepada ahli
politik. Bolehlah kita lihat tabiat pemimpin dan pengikutnya selepas
Ramadan ini.
![]() |
Pemimpin politik wajar muhasabah diri |
Dalam hal ini harus memperbanyak renungan, serta mengurangi penampilan diri dengan gaya kehidupan politik komersial yang dipenuhi kezahiran yang memanipulasi rakyat.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis , ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.
0 Comments