Hormat kebebasan badan kehakiman, HARAPAN beritahu Putrajaya

 


BADAN kehakiman perlu bebas pada setiap masa selain menggesa kerajaan supaya memastikan agensi penguatkuasaan menghormatinya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan pendirian itu susulan kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang sebelum ini berkata, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

Tambah Kepimpinan tertinggi HARAPAN itu berkata, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara berundang-undang dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.

“Oleh itu kami menggesa agar kerajaan persekutuan memastikan MoU (dengan pembangkang) terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman,” kata mereka dalam kenyataan.

Majlis Presiden juga berkata, Perkara 4.1 di dalam MoU antara kerajaan persekutuan dan HARAPAN menyatakan dengan jelas bahawa Putrajaya perlu “memastikan kebebasan badan kehakiman terlaksana sepanjang masa”.

“Maka Pakatan Harapan mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook; dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.

Baru-baru ini, hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, membuat laporan polis berhubung satu artikel berita yang mendakwa beliau disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Badan kehakiman perlu dihormati
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 Apr lalu memaklumkan bahawa Nazlan menolak dakwaan itu sebagai palsu, tidak berasas dan berniat jahat yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa wujudnya konspirasi antara Tengku Maimun dengan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Post a Comment

0 Comments