KETUA Pegawai Eksekutif Sapura Energy Bhd didakwa menerima kira-kira RM983 juta dalam pelbagai bentuk bayaran daripada 2009 hingga 2018, ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri, dakwa Rafizi Ramli.
Melalui satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beberapa rekod kewangan syarikat petroleum itu sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi termasuk bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya yang juga pemegang saham terbesar Sapura.
Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu tegasnya seharusnya memikul amanah dengan memberi hala tuju selain memastikan institusi dana rakyat seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mendapat nilai yang terbaik daripada pelaburan mereka.
“Malangnya 90% (atau RM983 juta) daripada bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, iaitu dari 2009 hingga 2018.
“Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?,” katanya Rafizi.
Najib baru-baru ini dikritik setelah membuat gesaan agar kerajaan melindungi Sapura daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan syarikat itu daripada PNB.
![]() |
Jangan guna duit rakyat selamatkan korporat |
Mengulas saranan itu, Rafizi menegaskan bahawa sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir yang lemah.
“Sekiranya syarikat swasta ada talian hayat (diselamatkan dengan wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing,” katanya dipetik.
0 Comments