BEKAS aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim mengingatkan bahawa pendidikan ialah mekanisme yang berperanan untuk membebaskan seseorang, bukannya bersifat menindas.
Mengulas satu video tular seorang tenaga pengajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dirakam memarahi pelajarnya kerana masih tidak memiliki komputer riba walaupun sudah berada di semester kelima baru-baru ini, Adam menegaskan bahawa seseorang pendidik perlu memiliki empati terhadap keadaan yang dialami seseorang pelajarnya.
Tindakan pensyarah itu turut dikritik warganet apabila pensyarah terbabit mengaitkan situasi itu dengan kumpulan rakyat berpendapatan rendah (B40) selain berkata, pelajar tersebut akan keciciran pengajian ekoran masih tidak memiliki komputer walaupun berada di Semester Lima.
“Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40, ya! Dia lebih memikirkan pasal lain dari pembelajaran.
“Ok kelas, kau tutup kamera kau tu. Aku tak nak tengok lagi dah,” kata individu itu.
Sementara itu Adam turut mempersoalkan apakah pendidik tidak memahami erti kemiskinan yang dihadapi sesetengah pelajar pusat pengajian tinggi.
"Kemiskinan itu sistemik, takkan seorang sarjana tak faham asas ini?
"Guru yang tiada empati kepada kemiskinan dan kesempitan anak didiknya tidak harus menjadi guru," kata Adam dengan menambah, bahawa ketegasan semasa mengajar bukanlah alasan untuk menghina sesiapa.
Video yang tular itu turut menarik perhatian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se-Malaysi
Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan, berkata kenyataan ditujukan pensyarah kepada seorang pelajar dalam video itu merupakan tindakan luar norma dan tidak beretika.
Rasydan menarik perhatian kepada matlamat asal penubuhan UiTM yang dibina atas dasar membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.
"Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat mana-mana pihak," katanya dengan gesaan agar pengurusan tertinggi universiti membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar terhadap tindakan yang dianggap mencalar imej pusat pengajian tinggi itu.
Selain Adam dan Rasydan, insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii.
![]() |
Menegur jangan sampai menghina |
"Walaupun mahu memberikan nasihat, haruslah ada sifat kemanusiaan untuk mendidik dan memastikan seseorang mahasiswa tersebut dapat merealisasikan potensinya dan akhirnya membawa bakti kepada negara kita," katanya.
0 Comments