Pelakon veteran Amran Tompel meninggal dunia

 


PELAKON dan pelawak Amran Tompel dilapor meninggal semasa dalam tempoh kuarantin Covid-19 di rumahnya di Taman Matahari Height Senawang, Seremban petang hari ini

Allahyarham Amran atau nama sebenarnya, Amran Aman Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat kanser usus.

Abang Allahyarham, pelakon AR Badul dipetik berkata, arwah adiknya sepatutnya tamat tempoh kuarantin hari ini.

"Saya sebenarnya baharu balik dari Perak dan sebaik sampai di Kuala Lumpur baru sempat baca mesej  WhatsApp berkenaan kematiannya.

"Kematiannya berpunca dari kanser usus, masalah buah pinggang dan baru-baru ini Amran positif Covid-19 dan jalani kuarantin.

"Hari ini hari terakhir kuarantin dan tak sangka dia sudah tiada," katanya.

Dilahirkan pada 27 Oktober 1950 di Singapura, Allahyarham merupakan saudara kandung kepada dua lagi pelakon tersohor AR Badul dan Adlin Aman Ramlie

Mereka tiga beradik adalah anak kepada seniman tersohor, Allahyarham AR Tompel

Amran sebelum ini dilapor mengalami gejala pelupa selepas terlantar akibat serangan angin ahmar. Pada awal Mac 2020 Allahyarham dimasukkan ke Hospital Jelebu, Negeri Sembila selepas mengadu tangan kirinya tidak boleh bergerak.  

Beliau yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar.

Allahyarham Amran meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Allahyarham berusia 72 tahun
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyifatkan, Allahyarham Amran merupakan seorang anak seni berbakat besar.

Persatuan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian seniman itu.

Seniman juga akan terus mendapatkan perkembangan lanjut mengenai masa pengebumian jenazah Amran daripada keluarga Allahyarham.



Post a Comment

0 Comments