OKU bantah JKMPay, dakwa bantuan yang sedikit hendak dirampas


SEMALAM, sekumpulan 60 orang kurang upaya (OKU) berkumpul di bangunan Parlimen bagi menuntut pelaksanaan program bantuan tanpa tunai JKMPay oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dimansuhkan.

Kumpulan yang mewakili pelbagai organisasi itu berkumpul pada kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyerahkan memorandum tuntutan pemansuhan JKMPay kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam laopran oleh Malaysiakini, kumpulan itu awalnya mahu berarak ke gerbang parlimen, bagimanapun setelah dihalang, mereka yang terdiri dari individu berkerusi roda, cacat penglihatan dan sebagainya hanya diadakan di tepi Jalan Parlimen dengan memegang plakad yang rata-ratanya menuntut pemansuhan JKMPay.

Difahamkan pelaksanaan JKMPay yang diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun tahun lalu mendapat banyak kritikan terutama dari golongan OKU.

Berbanding bantuan tunai langsung sebelum ini, penerima JKMPay penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah bantuan ke kad ATM, manakala baki dimasukkan ke kad tanpa tunai JKMPay.

Isu timbul apabila baki tersebut hanya boleh digunakan di kedai-kedai tertentu sahaja yang berdaftar dengan Bank Islam, bagi membeli barang keperluan asas dan ubat-ubatan yang telah disenaraikan sahaja.

Berdasarkan memorandum tersebut, warga OKU terlibat menzahirkan rasa "sangat kecewa". Mereka mendakwa kerajaan membuat keputusan dasar baru itu tanpa  berunding dengan NGO OKU sebagai pemegang taruh yang penting.

Tegas mereka, dasar kerajaan menyebabkan warga OKU kehilangan suara dan hak, malah bantuan sedia ada yang tidak mencukupi pun, dakwa mereka, hendak dirampas daripada mereka.

"Oleh yang demikian, kami warga OKU membantah sekeras-kerasnya keputusan projek rintis oleh kementerian di bawah Rina, serta menuntut dengan segera supaya serta-merta memansuhkan dasar baru JKM yang keterlaluan," kata memorandum tersebut dengan menegaskan bahawa Rina  seharusnya bersikap matang dan tidak menganaktirikan warga OKU.

K'jaan didakwa tak bincang dengan pemegang taruh
"OKU bukanlah objek kebajikan, tetapi mempunyai hak dan maruah yang sama seperti masyarakat umum", tegas kumpulan itu lagi.

Difahamkan wakil dari Jabatan Perdana Menteri menerima memoranduk tersebut. Kumpulan itu turut disantuni bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) dan timbalannya, Hannah Yeoh selain Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ngeh Koo Ham (Beruas), R Sivarasa (Sungai Buloh). 

Post a Comment

0 Comments