PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan kekal dengan pendirian untuk tetap bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai rakan sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Pendirian itu dinyatakan Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang mengakui bahawa parti itu tidak boleh bertanding bersendirian dan mereka memerlukan sokongan gabungan besar untuk mendekati rakyat dan membentuk kerajaan.
Amira yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini menjelaskan bahawa sejak mula, Muda mempunyai prinsip yang sama dengan apa yang diperjuangkan oleh HARAPAN.
Atas alasan itu HARAPAN merupakan rakan seperjuangan yang terbaik bersama Muda dalam menghadapi PRU akan datang.
“Saya berpendirian bahawa Muda sebagai sebuah parti baharu tidak boleh berdiri seorang jika kami ingin membentuk kerajaan. Jadi amat jelas sekiranya Muda mahu membentuk kerajaan, kami memerlukan rakan sekutu yang mempunyai perjuangan yang sama dengan Muda.
“Muda memiliki asas perjuangan seperti HARAPAN dan Muda juga selesa untuk bersama HARAPAN setelah bekerjasama sewaktu PRN Johor,” katanya dipetik laporan Sinar Premium.
Sementara itu dipetik laporan sama, Amira berkata walaupun berlaku pertembungan antara Muda dan HARAPAN di DUN Larkin pada PRN Johor, ia akhirnya ditangani dengan baik menjadikan kedua-dua pihak kini lebih matang bekerjasama.
“Semestinya hubungan antara Muda dan HARAPAN bertambah baik selepas kami bekerjasama sewaktu PRN Johor.
![]() |
Asas perjuangan Muda dan HARAPAN sama |
“Rakan-rakan dari HARAPAN dan Muda sendiri sedang mengambil langkah untuk membincangkan apa yang perlu ditambah baik untuk PRN atau PRU selepas ini. Kami telah mengadakan ‘post mortem’ untuk membincangkan kelemahan dan juga kekuatan Muda sewaktu di PRN Johor,” katanya lagi.
0 Comments