Jangan 'serah' masa depan negara kepada macai UMNO - Rafizi

BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melihat sebahagian rakyat kini dilihat sudah hilang keyakinan kepada parti-parti politik, berbanding situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Bercakap pada Majlis Pelancaran ‘Ayuh Malaysia’ di Kuala Lumpur pada Sabtu, Naib Presiden KEADILAN itu berkata, situasi tersebut dapat dibuktikan dengan keputusan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN)yang memperlihatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Peratusan keluar mengundi yang rendah itu tambahnya secara jelas menunjukkan rakyat sudah tidak peduli dengan situasi politik semasa sehingga enggan keluar mengundi yang seterusnya memberikan kesan besar kepada negara.

“Jika dilihat dalam beberapa PRN, UMNO menang bukan sebab kuat tetapi rakyat kata sudah tidak ada guna mengundi... sudah hilang harapan. Keputusan tidak keluar mengundi akan memberikan kesan kepada semua.

"Bukan sebab kita nak tolong ahli politik tapi setiap keputusan politik yang kita buat, akan ada kesan kepada kita dan anak cucu kita.

“Kalau semua berfikiran negatif, maknanya kita hanya tinggalkan politik kepada macai-macai UMNO yang hanya mahu pemimpin mereka menang dan tahu dapatkan projek bila UMNO menang,” katanya pada pelancaran itu.

Program ‘Ayuh Malaysia’ dilancarkan bagi tujuan menarik sokongan pengundi atas pagar. Ia membentangkan lima teras yang dianggap radikal iaitu jaminan makanan, tenaga dan sumber boleh diperbaharui, vokasional dan teknikal, perumahan mampu milik dan mapan serta pendemokrasian pendidikan.

Digerakkan oleh pimpinan muda KEADILAN, program itu diharap dapat menarik minat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
 
“Kami berharap idea-idea melalui '
Ayuh Malaysia' ini dapat menghidupkan kembali semangat orang ramai untuk terus berusaha membawa Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik,” ujar Rafizi.

Rakyat mesti cakna isu politik negara
Pada majlis dihadiri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir itu juga turut dilancarkan adalah aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.


Post a Comment

0 Comments