Apabila menteri dibelenggu sindrom penafian


 Oleh:BAKAR SUAR |  Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan selesai hari ini disaji dengan pelbagai sebab kenapa PRU15 patut disegerakan.

Isu ini dikupas oleh Presiden dan Timbalan Presiden dalam ucapan perdana masing-masing. Ia mengundang pelbagai komen daripada pemimpin Umno lain, baik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahupun beberapa menteri lantikannya daripada parti itu.

Mohamad Hasan tidak berlapik dalam mengutarakan hujah prestasi Umno dalam kerajaan tidak menunjukan keyakinan yang diharapkan “sungguhpun ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik”.

Kerajaan yang dirujuk beliau adalah pentadbiran yang dibentuk oleh parti-parti yang kini bertelagah dengan Umno – Bersatu dan PAS. Mereka adalah gunting dalam lipatan kepada kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Ismail, Naib Presiden Umno.

Sudah tentu Ismail tidak mungkin mengaku (secara terbuka) perbalahan kepartian itu memberi kesan kepada kerajaan pimpinan beliau. Atau pun akur beliau tertekan dengan politik mainan dua parti itu yang bersekutu bawah Perikatan Nasional.

Apa pun, ia tidak boleh menutup realiti sebenar imej kerajaan pimpinan beliau di mata rakyat, yang memberi kesan kepada Umno, lebih-lebih lagi kerana orang Umno yang kini mengetuai kerajaan.

Tanya saja kepada jutaan mangsa yang terkesan dengan banjir besar yang melanda negara Disember lalu – tidakkah nama baik kerajaan dan Umno sendiri terjejas teruk sehingga hari ini?

Tidakkah kredibiliti Umno selain pemimpin parti dalam kerajaan terkesan akibat tindakan Putrajaya lewat dan lembab turun padang menghulur bantuan?

Apabila menteri parti lain ke luar negara atas pelbagai alasan atau ‘berlakon’ membersihkan pusat bantuan banjir, bukankan Umno yang turut menanggung kemarahan rakyat?

Tentunya semua tahu jawapan kepada persoalan itu.

Malangnya kenyataan Tok Mat itu tidak disukai oleh menteri Umno tertentu. Lalu mereka menunjukkan penyakit lama iaitu sindrom penafian dan menolak apa yang terang lagi bersuluh.

Lalu muncullah komen beberapa menteri seperti Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid yang cuba menegakkan benang yang basah.

Hishammuddin misalnya memberi kenyataan yang membawa maksud, jika prestasi menteri Umno dalam kerajaan tidak menyakinkan, tentunya Umno kalah pada PRN Melaka dan Johor. Sebaliknya Umno menang besar, khususnya di Johor.

Berdasarkan dalil sama, jika kerajaan pimpinan Ismail dilihat ‘berjaya’, maka patutnya Bersatu dan PAS juga menang besar atau sekurang-kurangnya menang dua PRN itu. Namun dua parti itu kalah, malah kalah teruk.

Adakah k'jaan Ismail sama gagal seperti PN?
Banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan Umno, namun “kecemerlangan” pak menteri Umno bukan satu daripadanya. Faktor politik tempatan, jumlah pengundi keluar mengundi rendah, jentera parti mantap berbanding parti lawan – ini semua berkait rapat dengan kemenangan Umno-BN.

Hakikatnya, orang Johor mahu pun warga Melaka, tidak memberi undi kepada Umno kerana rekod kerajaan sekarang. Semua juga harus terima kenyataan bahawa imej ‘Kerajaan Gagal’ Muhyiddin Yassin sedikit sebanyak diwarisi kerajaan sekarang kerana mainan politik dendam dan rakus kuasa Bersatu dan PAS.

Kemenangan besar Umno bersama rakan komponen BN di Melaka dan Johor lebih kepada pengundi menerima baik penjelasan pemimpin Umno bahawa parti itu ditikam belakang dan tidak lagi boleh menjadi rakan kepada Bersatu dan PAS. Justeru Umno-BN kembali kepada rakyat untuk memperolehi mandat yang jelas.


BAKAR SUAR adalah wartawan dan pemerhati politik.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di portal FMT, ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia


 

Post a Comment

0 Comments