POLEMIK politik semasa sejak dua tahun kebelakangan ini yang menyaksikan berlakunya perubahan kerajaan di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri amat membosankan rakyat terutamanya dalam kalangan golongan muda, kata Pengerusi Bersih Thomas Fann.
Situasi itu jelasnya telah menjadi faktor berlakunya penurunan ketara kepada peratusan keluar mengundi sehingga ia gagal mencapai tahap ditetapkan.
Justeru tegasnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu memperbaiki prosedur mengundi yang sedia ada bagi memastikan jumlah peratusan keluar mengundi mampu dipertingkatkan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“55 peratus (keluar mengundi) bukanlah satu angka yang besar. Cabaran untuk SPR adalah untuk memudahkan akses kepada mengundi supaya membolehkan lebih ramai yang terlibat dalam proses pilihan raya.
“Ramai orang terutamanya golongan muda yang berada di luar atas sebab kerja. Mereka perlu satu kemudahan membolehkan mereka mengundi walaupun tidak hadir secara fizikal,” jelasnya merujuk apa yang berlaku pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor
Tambahnya lagi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika PRN Johor baru-baru ini juga perlu dilihat kembali keberkesanannya termasuk membabitkan isu larangan mengundi terhadap mereka yang positif COVID-19.
Ia katanya sama sekali tidak sepatutnya berlaku dan bertentangan dengan amalan demokrasi selain jaminan perlembagaan yang telah diberikan kepada mereka yang layak mengundi.
“Halangan yang dikeluarkan di mana pengundi yang positif COVID-19 dilarang mengundi, pada pandangan kami, jelas menafikan hak rakyat Malaysia untuk mengundi yang sudah terjamin dalam perlembagaan.
“Sesiapapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pegawai kesihatan, tidak boleh menghalang sesiapa untuk mengundi. Kita dapat laporan bahawa terdapat kejadian di mana mereka yang didapati dalam MySejahtera mereka (berstatus) 'merah' dan dalam kuarantin telah dihalang daripada mengundi," jelasnya lagi.
Thomas menekankan, pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan akan melaksanakan proses undang-undang termasuk memfailkan kes tersebut di mahkamah.
Jangan biar demokrasi M'sia hancur |
Difahamkan Bersih sedang memperkemaskan dua atau tiga kes laporan mengenai hal tersebut yang akan difailkan di mahkamah sedikit masa lagi.
Badan reformasi pilihan raya itu turut mengalu-alukan orang ramai yang telah berdepan pengalaman yang sama supaya tampil membuat aduan kepada mereka.
0 Comments