Slogan ‘Keluarga Malaysia’ tidak bawa apa-apa erti, kata Guan Eng


SETIAUSAHA
Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak bawa apa-apa erti.

Dipetik laporan media, Guan Eng berkata ketika Ismail cuba menarik sokongan dengan slogan itu, hakikatnya kerajaan BN dan PN terus meminggirkan perasaan komuniti bukan Melayu.

"Ismail punya 'Keluarga Malaysia' tidak memiliki kredibiliti kerana dia enggan melenyapkan perasaan terpinggir bahkan rasa terabai yang dirasakan oleh komuniti bukan Melayu dan bukan Islam.

“Tiada sesiapa yang membantah program dan bantuan kewangan kerajaan untuk membantu bumiputera, tetapi bagaimana pula dengan bukan Melayu dan bukan Islam di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak?” soal Lim melalui kenyataan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebelumnya mengulas satu laporan berkenaan komuniti Cina di Terengganu yang terasa diketepikan oleh kerajaan negeri diterajui PAS.

“(Laporan itu) menyerlahkan realiti sedih, kisah peminggiran dan pengabaian yang dideritai komuniti Cina akibat daripada dasar perkauman dan ekstrem kerajaan PN dan BN, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Diskriminasi yang dihadapi kaum bukan Melayu telah menghalang mereka daripada menerima bantuan pembangunan dan kewangan, bukan sahaja di Terengganu bahkan di banyak negeri lain.

“Diskriminasi seperti itu bukan sahaja tidak adil, bahkan juga tidak berperlembagaan terhadap rakyat serta terhadap mereka yang membayar cukai.

“Soalan akan timbul, kenapa rakyat minoriti di Terengganu tidak menerima bantuan kewangan, sedangkan Malaysia boleh menawarkan bantuan kepada kerajaan Taliban di Afghanistan?” soal ahli parlimen Bagan itu.

Apa guna slogan jika ada yang masih ditindas
Tambah Guan Eng lagi, walaupun negara telah lama merdeka, namun terdapat banyak insiden apabila perasaan dan sensitiviti komuniti bukan Melayu tidak dipedulikan ekoran permainan politik.

“Dengan campur tangan dalam amalan perniagaan biasa dan gaya hidup kebiasaan orang bukan Islam, BN dan PN berharap untuk menyembunyikan kegagalan kepemimpinan dan tadbir urus yang teruk mereka, dengan cuba mendapatkan sokongan daripada satu komuniti dengan mengorbankan golongan minoriti.

“Kerajaan persekutuan dan negeri BN dan PN lupa bahawa mereka bukan sahaja pemimpin untuk satu komuniti, tetapi mewakili seluruh rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments