Bagaimana rakyat nak patuh SOP jika penggubal pun langgar


SETIAUSAHA
Pemuda AMANAH Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir menyelar tindakan Perdana Menteri yang terus mempertahankan Hishammuddin Tun Hussein yang dituntut meletak jawatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Dipetik laporan Malaysia Dateline, Muammar Qaddafi berkata sikap ditonjolkan Ismail Sabri Yaakob itu jelas memperlihatkan satu bentuk keangkuhan kumpulan kayangan.

Tambahnya, walaupun isu pelanggaran SOP oleh pemimpin dikritik rakyat sejak era pentadbiran Mahiaddin Md Yassin, ia terus berlaku hari ini kerana tiada hukuman setimpal kesalahan diambil.

"Denda RM1000 atau jika RM10,000 sekalipun, bukan perkara besar bagi individu bertaraf menteri, ia bukan hukuman yang cocok kerana tidak pun akan memberi pengajaran berguna buat mereka.

“Benar dari sudut perlembagaan, tindakan terbabit tidak meletak Hishamuddin dalam keadaan perlu meletak jawatan.

“Namun, selain dari sudut perundangan, ada peraturan atau etika yang lain disebut sebagai “moral” yang harus dipatuhi oleh pemimpin kerajaan,” kata beliau.

Ismail Sabri dipetik laporan media mempertahankan Hishamuddin untuk tidak perlu meletak jawatan sebagai menteri setelah melanggar SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut Ismail Sabri, tindakan terbabit bukan satu jenayah yang memerlukan Hishammuddin melepaskan jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Sebagai rekod Hishammuddin adalah menteri pertahanan yang turut mempengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, beliau sendiri sebelum ini mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan.

Menteri mesti patuhi etika yang disebut 'moral'
“Apabila individu yang menjadi sebahagian dari penggubal undang-undang, sekiranya undang undang tersebut dilanggar oleh dirinya sendiri, Hishamuddin tidak lagi layak untuk berada disitu,” ujarnya lagi.

"Bagaimana rakyat akan hormat atau akur pada peraturan yang dimana penggubalnya sendiri bertindak melanggar, apatah lagi hukuman yang sama taraf bagi penggubal undang undang dan rakyat biasa, adalah satu peraturan yang “Dilihat tidak adil”, tambah Muammar Qaddafi lagi.

Post a Comment

0 Comments