PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai "rakan baru" walaupun sebelumnya timbul pergeseran antara kedua-dua parti itu.
Perkara itu dinyatakan Anwar pada majlis pelancaran kempen pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) di Johor Bahru pada Isnin.
"Saya harap jentera parti masing-masing melihat ke depan, meninggalkan pengalaman yang menyinggung sebelum ni. Pastikan hala tuju kita jelas memartabatkan rakyat, kembalikan mandat rakyat untuk mengalahkan kerajaan BN," katanya.
Muda yang dipimpin bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan komponen rasmi HARAPAN, namun menjalin kerjasama secara individu dengan parti dalam HARAPAN.
Tindakan itu bagi memastikan undi kepada pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak berpecah. Bagaimanapun parti Pejuang dan Warisan dilihat enggan menjalin kerjasama dibawah apa yang digelar 'Khemah Besar" itu.
Sementara itu Syed Saddiq Syed dalam ucapannya mengakui ada "kejanggalan" sebelum ini kerana terdapat tanggapan bahawa parti itu akan berentap menentang parti pembangkang lain.
Jelasnya, Muda dibentuk untuk merombak struktur kepimpinan di Putrajaya dan oleh itu perlu bekerjasama dengan parti lain.
Kerjasama untuk kembalikan mandat rakyat |
"Mana kita boleh bekerjasama patut kita kerjasama, mana tidak boleh, kurangkan pertindihan kerana tanggungjawab hakiki adalah memastikan lepas hari mengundi kerajaan yang ditubuhkan adalah kerajaan di kalangan pimpinan pembangkang bukan Umno BN," katanya.
0 Comments