GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menuntut semua parti bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor melakukan pembaharuan, termasuk menghadkan jawatan Menteri Besar hanya selama dua penggal.
Melalui satu kenyataan mereka turut mendesak parti politik menjanjikan pembaharuan institusi termasuk had memegang jawatan tertinggi kerajaan itu sebagai sebahagian daripada manifesto masing-masing menjelang pilihan raya Mac ini.
“Ini bagi memberi laluan kepada calon Menteri Besar baharu supaya negeri sentiasa mempunyai pelapis kepimpinan kompeten dan bertenaga,” katanya dalam kenyataan.
BERSIH juga mahu parti politik menggubal enakmen prosedur pecat bertujuan memperkasakan ketuanan pengundi memecat wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan.
“Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti, sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat sama ada akan dipecat atau dikekalkan melalui kutipan petisyen dengan nilai ambang (threshold) yang tertentu,” kata mereka lagi.
Sebagai langkah menstabilkan pentadbiran, badan itu turut mencadangkan pengenalan undi tidak percaya secara konstruktif dengan meminda perlembagaan negeri dan peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksana.
Langkah itu kata mereka akan memastikan Menteri Besar tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya turut dimasukkan nama penggantinya.
“Proses ini perlu berlaku dan dibuktikan di DUN. Hal ini dapat mengelakkan pembangkang yang berpecah-pecah menjatuhkan kerajaan apabila mereka sendiri tidak mempunyai majoriti,” katanya mereka.
Hadkan tempoh jawatan MB |
Dalam kenyataan sama juga mereka mencadangkan penggubalan enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan wakil rakyat diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua ADUN sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
“Peruntukan yang berat sebelah hanya akan menghukum rakyat di kawasan tersebut dan menjadikan padang politik berat sebelah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang,” katanya.
0 Comments