SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam sidang media sebentar tadi selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Johor Bahru, hari ini.
“SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi dewan negeri tersebut.
“Bagi maksud menjalankan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:
“Tarikh keluar writ - Rabu, 9 Februari; hari penamaan calon - Sabtu, 26 Februari 2022; hari mengundi awal - Selasa, 8 Mac dan hari mengundi - Sabtu, 12 Mac,” katanya.
Abdul Ghani turut memaklumkan bahawa 26 Feb ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
Sementara tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari nanti.
Pada 22 Jan lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas spekulasi dan gesaan daripada pemimpin Umno supaya pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar pada tarikh sama menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad.
Ketika itu, kerajaan negeri Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (Adun) Kempas, Osman Sapian yang juga bekas menteri besar, pada 21 Disember lalu.
Daripada 28 kerusi itu, Umno mempunyai jumlah yang terbesar iaitu 14 kerusi, MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), menentang 27 kerusi Pakatan Harapan iaitu DAP (14), KEADILAN (tujuh) dan Amanah (enam).
Sesetengah pihak melihat membubarkan DUN itu sebagai usaha menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS daripada pentadbiran negeri.
Johor adalah negeri ketiga mengadakan PRN dalam tempoh beberapa bulan ini selepas Melaka dan Sarawak masing-masing mengundi pada Nov dan Dis tahun lepas.
Dalam pada itu Abdul Ghani berkata, seramai 2,597,742 orang pengundi berdaftar untuk PRN Johor.
Katanya, bagi menjalankan proses PRN, SPR telah melantik 56 pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu oleh 186 penolong pegawai pengurus.
962 buah pusat mengundi biasa akan dibuka pada hari mengundi dari 8 pagi sehingga 6 petang manakala baki 59 pusat mengundi akan dibuka mengikut waktu yang telah diwartakan.
Hari pengundian awal ditetapkan 8 Mac |
"Permohonan undi pos untuk kategori 1B dan 1C boleh dilaksanakan secara dalam talian. Manakala bagi kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) mula dibuka bermula hari ini sehingga 24 Feb," katanya.
0 Comments