Peniaga berisiko 'gulung tikar' lepas tarif elektrik naik


PENTADBIRAN Ismail Sabri Yaakob sekali lagi didesak supaya memansuhkan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa pada 1 Feb lalu.

Desakan itu disuarakan kumpulan perniagaan yang menegaskan bahawa kenaikan tarif di bawah mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) itu sebagai “mengejutkan” dan tidak wajar kerana peniaga masih bergelut untuk pulih daripada impak wabak Covid-19.

“Kenaikan ini sangat mengejutkan, iaitu lebih 15% atau sehingga 25% pada tarif luar puncak. Kos ini sangat besar dan pada masa yang terbaik sekalipun, ia tidak mungkin dapat diserap oleh perniagaan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mereka turut mendakwa kenaikan caj elektrik yang diumumkan itu dibuat tanpa berbincang dengan pihak berkepentingan dan pengguna.

Pada 1 Feb, surcaj sebanyak 3.7 sen/kWj dikenakan ke atas semua pengguna bukan domestik seperti syarikat komersial dan perindustrian.

Sementara itu tambah kumpulan berkenaan, pada masa kritikal ini, ketika semua perusahaan, besar mahupun kecil, masih bergelut dalam mod kelangsungan hidup dan kebangkitan semula, kenaikan ini boleh menjadi permulaan kemusnahan banyak perniagaan.

Jangkaan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan akan menyekat dan mengurangkan lagi keupayaan mereka untuk membeli, membantutkan jumlah dan melembabkan kadar pusing ganti.

“Kami faham kos bahan api telah meningkat disebabkan terutamanya oleh gangguan rantaian bekalan dan ditambah dengan permainan perdagangan geopolitik.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja rantaian bekalan dipulihkan dan keadaan kembali normal, kuasa pasaran akan menyebabkan harga pemangsaan berkurangan dan persaingan wujud,” kata mereka.

Mengulas lanjut kumpulan itu menyatakan pandangan bahawa ketika gangguan jangka pendek yang boleh diramal ini, adalah lebih berhemat bagi kerajaan campur tangan dan menyediakan sokongan bagi “kesakitan sementara” ini.

Rakyat berdepan risiko kenaikan harga barang
Langkah itu jelas mereka bukan sahaja mampu menyelamatkan perniagaan yang sedang berusaha pulih, malah dapat mengelak pengguna menaggung beban kenaikan harga barang.

“Pada masa ini, walaupun tanpa kenaikan tarif elektrik yang belum pernah berlaku, tetapi hanya disebabkan gangguan rantaian bekalan, tekanan inflasi sudah dialami oleh semua pengguna,” kata mereka dipetik laporan media.

Post a Comment

0 Comments