RM16 juta: ACG tolak representasi keluarga bekas Ketua Putera Umno


PEJABAT PEGUAM NEGARA  (AGC) dilapor telah menolak representasi dikemukakan keluarga Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim.

Dipetik laporan Berita Harian, resprentasi yang ditolak itu adalah terhadap permohonan berkaitan pelucutan hak wang tunai dan harta bernilai RM16 juta milik keluarga bekas Ketua Putera Umno itu yang didakwa hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Aset-aset itu difahamkan daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka, termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa sepucuk surat berhubung perkara itu sudah dihantar kepada peguam responden pada 4 Feb.

Tambahnya, pihak pendakwaan menerima dua afidavit daripada responden dan akan meneliti serta mengkajinya sebelum mengambil tindakan lanjut, dipetik laporan itu.

Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang hampir RM140 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.
Abdul Azeez berdepan beberapa kes mahkamah


Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga terbabit untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara menunggu perbicaraan kes rasuah Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen selesai.


Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menetapkan 21 Jun depan untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta berkenaan.

Post a Comment

0 Comments