Genting Hong Kong gulung tikar: Hanipa bidas jawapan Tengku Zafrul


AHLI PARLIMEN
Sepang Hanipa Maidin menolak penjelasan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai sebab tiga bank berkaitan kerajaan memberikan pinjaman tidak bercagar - sebanyak RM2.51 bilion - kepada Genting Hong Kong Ltd (Genting Hong Kong).

"Setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kenyataan yang dibuat di atas, saya perlu katakan bahawa - dengan hormat - alasan Tengku Zafrul itu itu amat lemah, malah langsung tak ada merit," katanya dipetik Malaysiakini.

Dalam jawapannya, Tengku Zafrul berkata pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam industri perbankan, dan institusi itu mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian berdasarkan kesanggupan mereka mengambil risiko.

Dalam kes Genting Hong Kong, katanya, pinjaman itu telah diluluskan sebelum wabak Covid-19 melanda dan apabila pandemik itu merebak, perniagaan syarikat itu terjejas.

Terdahulu Straits Times Singapura melaporkan bahawa Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka menerima kesan besar susulan penggulungan perniagaan Genting Hong Kong, yang terlibat terutamanya dalam industri kapal pesiaran selepas tidak dapat membayar hutangnya.

Ketiga-tiga bank itu adalah pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan jumlah pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).

Kerajaan mempunyai kepentingan dalam bank-bank terbabit melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut jawapan Zafrul, Hanipa menegaskan bahawa justifikasi amalan perbankan seperti yang dijelaskan Tengku Zafrul sukar dipercayai memandangkan dia sendiri mempunyai pengalaman luas dalam industri perbankan.

Tambahnya walaupun Covid-19 boleh dikategorikan sebagai risiko yang tidak dapat dijangka, langkah keselamatan tambahan sepatutnya ditegaskan oleh institusi kewangan.

"Dalam undang-undang ia dipanggil sebagai fortuitous event, memang tak ada keraguan mengenainya.

"Itulah sebabnya mengapa mana-mana institusi kewangan akan berkeras untuk (permohonan pinjaman) mempunyai sekuriti tambahan seperti gadai janji atau surat jaminan daripada peminjam sebelum sebarang pinjaman diluluskan.

Hanipa anggap jawapan Zafrul tiada merit
“Ringkasnya, perkara asas untuk memiliki sekuriti dalam amalan perbankan adalah disebabkan oleh sifat transaksi pinjaman itu sendiri – ia adalah transaksi yang berisiko.

"Oleh itu, bank amat memerlukan perlindungan tambahan melalui sekuriti yang boleh dikuatkuasakan.

“Ia difahami bahawa pemiutang bercagar secara relatifnya lebih dilindungi daripada yang tidak bercagar terutamanya ketika berlaku muflis," kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Selain itu, Hanipa mendakwa percubaan untuk mengehadkan sebarang risiko yang tidak dijangka berkaitan wabak adalah "tidak masuk akal", memandangkan risiko yang tidak dijangkakan dalam amalan perbankan adalah banyak.
 

Post a Comment

0 Comments