Cadangan Hazani membimbangkan, kata Ahli Parlimen


 SEORANG Ahli Parlimen menyatakan rasa bimbang bahawa hak asasi manusia akan dilanggar sekiranya cadangan hukuman sebat terhadap pendatang tanpa izin (Pati) dijalankan di negara ini.

Teresa Kok (HARAPAN-Seputeh) berkata begitu sebagai mengulas cadangan mengejutkan pegawai tertinggi penguat kuasa supaya kerajaan memperkenal hukuman itu kepada pesalah yang berulang kali ditangkap memasuki negara ini secara haram.
 
"Saya membaca cadangan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Hazani Ghazali untuk menyebat pendatang tanpa izin yang telah ditangkap berulang kali memasuki negara ini.

"Saya tertanya-tanya sama ada cadangan beliau untuk sebat juga akan dikenakan terhadap pegawai penguat kuasa licik yang gagal dalam tugas mereka dalam menghalang Pati daripada masuk ke Malaysia dan juga penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan migran tanpa izin," kata Kok dalam kenyataan, hari ini.

Justeru Teresa menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar menjalankan latihan kesedaran hak asasi manusia kepada polis dan agensi penguatkuasaan lain supaya setanding dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Terdahulu, Hazani dilaporkan berkata, hukuman itu sebagai salah satu bentuk pengajaran kepada kepada golongan Pati supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan isu Pati kerana ia boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara.

Seksyen 6(3) Akta Imigresen menyebut hukuman bagi kemasukan haram ialah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga lima tahun dan pesalah juga boleh disebat tidak lebih enam sebatan.

Teresa berkata penjawat awam dan pegawai kanan polis perlu diingatkan sepenuhnya bahawa hukuman sebat dilihat sebagai tindakan biadab, yang merendahkan maruah manusia di peringkat antarabangsa.

"Ramai pendatang tanpa izin yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dari negara jiran kita yang mencari pekerjaan di sini," katanya dipetik.

Dalam isu berkaitan, Pengarah Insiatif Utara-Selatan Adrian Pereira, turut menyelar cadangan itu yang disifatkannya  sebagai tidak berperikemanusiaan, selain tidak memberi makna.

 Pihak berkuasa digesa tangani  punca utama

Katanya, perkara perlu diutamakan bagi pihak berkuasa adalah mengenalpasti pendatang tidak mempunyai dokumen dan bagaimana mereka diseludup masuk ke negara ini.

Aktivis hak kemanusiaan itu, berkata migran kebiasaannya dipaksa membuat pilihan “berisiko”, termasuk terjebak dalam penipuan penyeludupan manusia.

“Dan itu sebabkan migran tidak sepatutnya dihukum.

“Hukuman keras perlu dikenakan kepada pelaku utama yang terbabit menyeludup mereka, sindiket dan dalang utama terlepas, manakala yang menjadi mangsa terpaksa menerima hukuman,” katanya



Post a Comment

0 Comments