Skandal saham: Bekas Menteri Kewangan kritik SC

 


RAKYAT merasa kecewa atas kegagalan Suruhanjaya Sekuriti (SC) memastikan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki telah melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) atau SICDA, kata bekas menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu ketika mengulas hasil siasatan SC hari ini berkata, undang-undang melarang perdagangan saham secara proksi, tetapi SC tidak mendedahkan sama ada adik Azam, Nasir mempunyai akaun dagangan saham atau jika beliau melakukan dagangan saham secara proksi serta sumber dana untuk pembelian itu.

Tambahnya, jika SC tidak dapat bertindak ke atas dagangan saham secara proksi, maka ia perlu menjelaskan tindakan terhadap sekurang-kurangnya tiga individu yang didenda jutaan ringgit atas kesalahan sama sebelum ini.

“Ini secara jelas satu amalan antara dua darjat. Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah dibayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, respons SC bercanggah dengan tugas undang-undangnya sebagai pengawal selia pasaran modal sedanglan, Azam secara jelas dan terbuka mengakui beliau membenarkan adiknya melakukan dagangan saham secara proksi.

“Seperti setiap pasaran modal maju di dunia, Seksyen 25(4) SICDA melarang perdagangan saham secara proksi dengan memperuntukkan akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik sebenar atau penama yang diberi kuasa.”

Terdahulu SC melalui kenyataan ringkas hari ini berkata bahawa suruhanjaya itu tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan di bawah Seksyen 25(4) SICDA.

Seksyen 25(4) menetapkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik pemanfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Perdagangan saham secara proksi dilarang
Azam sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan berkata pembelian lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam dilakukan adiknya menggunakan akaun dagangan beliau, yang kemudian dipindahkan ke akaun Nasir pada tahun sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam menganggap keputusan SC itu sebagai “mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya”.

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai KP SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments