PRN Johor: SPR dituntut benarkan tempoh kempen 21 hari


MAJLIS
Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari.

Melalui satu kenyataan, mereka juga menuntut supaya ceramah dan kempen bersemuka dibenarkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor yang akan diadakan nanti.

Tegas mereka, tuntutan itu adalah relevan memandangkan jumlah kes positif Covid-19 serta jumlah kemasukan ke hospital agak stabil serta jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

“…dan jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80% dan dos penggalak lebih 30%, HARAPAN berpendirian bahawa SPR perlu memperbetul prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRU Johor ke-15 bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat,” kata kenyataan itu.

Selain itu, HARAPAN juga mendesak akses media diberikan kepada semua parti secara adil membabitkan segi ruangan masa dan ruangan cetak bagi tujuan kempen.

Turut diminta supaya SPR menggerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik.

Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, iaitu pada atau sebelum 23 Mac.

SPR akan mengadakan mesyuarat pada 9 Feb ini bagi membincangkan tarikh penting seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi menghadapi PRN berkenaan.

Kempen bersemuka perlu dibenarkan
Sementara itu kenyataan  ditandatangani  Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau itu turut menyatakan anggapan bahawa pembubaran DUN Johor adalah tindakan diatur khusus bagi mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen, sekali gus mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).