Isu Azam Baki memuncak lepas PM kata tak perlu siasat


 ISU berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak reda walaupun Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang baru-baru ini membuat kenyataan 'membersihkan' Azam.

Pagi ini dilaporkan satu ‘Konvoi Protes Selamatkan SPRM’ yang digerakkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diadakan di Dataran Putrajaya.

Menerusi hantaran Facebook Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, protes tersebut digerakkan susulan pendirian perdana menteri semalam yang dianggap sangat mendukacitakan dan seolah-olah tiada kesungguhan untuk mengatasi krisis SPRM.

“Bagi menzahirkan usaha menyelamatkan institusi SPRM, AMK akan berkonvoi ke Putrajaya esok.

“(Lokasi)Dataran Putrajaya, pada jam 10 pagi. Isnin, 10 Januari 2022,” katanya di Facebook.

Azam berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan dan disiasat, bagaimanapun dipertahankan perdana menteri bahawa tiada keperluan untuk disiasat.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan orang ramai yang semakin memuncak.

Skandal SPRM terus menjadi buah mulut rakyat Malaysia dan isu berkenaan terus ‘trending’ di Twitter sejak 28 Disember tahun lalu sehingga pagi ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakukan sesuatu selepas agensi pencegahan rasuah yang merupakan badan terpenting negara dilanda kontroversi hebat membabitkan dakwaan pemilikan saham jutaan ringgit.

Dalam ciapan di Twitter, Salahuddin berkata, ada sesuatu yang tidak betul telah berlaku dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Isu Azam perlu diselesaikan dengan siasaan bebas
“Tuanku YDPA, kerajaan tuanku pimpinan perdana menteri sangat lemah. Pengurusan bencana dan kini isu pembelian saham yang bernilai ratusan juta oleh KP SPRM.

“Something is rotten in the state of Denmark (sesuatu yang tidak betul sedang berlaku),” ciap Salahuddin.