KUMPULAN antirasuah, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menegaskan hanya siasatan bebas boleh membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada sebarang dakwaan salah laku membabitkan pembelian saham syarikat.
Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel dipetik kenyataan kepada portal FMT berkata mereka menolak langkah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Azamn dari dakwaan membabitkannya seperti didedah baru-baru ini.
Tegas Cynthia, siasatan LPPR tidak sama dengan siasatan bebas untuk memastikan “kebenaran dan perincian” dalam isu terbabit.
“Hanya siasatan bebas akan membersihkan nama beliau (Azam) dan memulihkan integriti SPRM,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang hari ini berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam yang akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham.
Abu Zahar berkata, LPPR mendapati tiada konflik kepentingan dan Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan benefisial dalam pembelian saham itu di pasaran terbuka pada 2015 dan dipindahkan ke akaun adiknya pada tahun sama.
Mengulas kenyataan Abu Zahar, Cynthia berkata, beberapa persoalan “belum dijawab”, termasuk kenapa nama Azam terus muncul sebagai pemilik berjuta-juta saham dalam Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd pada 2016.
Beliau turut mendakwa, Azam mungkin melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan pemilikan saham itu dan mempersoalkan kenapa tiada tindakan tatatertib diambil terhadapnya.
Katanya, Azam juga mungkin melanggar Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang memperuntukkan mana-mana akaun sekuriti yang dibuka mestilah atas nama pemilik benefisial.
Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat, yang memohon perbahasan dibuat berkenaan dakwaan Azam memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.
Ismail digesa mulakan siasatan bebas |
Walau bagaimanapun usul dikemukakan Sivarasa itu ditolak untuk dibahaskan.
BACA: Sikap Ismail dalam isu Azam Baki serlahkan kelemahan sebagai PM - Gobind
Sementara itu, Cynthia membuat gesaan supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memulakan siasatan bebas khas berhubung isu membabitkan orang penting SPRM itu tanpa melengahkan masa.
0 Comments