PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) mengulangi desakan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki untuk bercuti sehingga siasatan skandal pemilikan saham yang dikaitkan dengannya selesai.
"Majlis Setiausaha berpandangan Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau.
"Sekiranya beliau enggan, kami menggesa perdana menteri agar mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam," kata mereka dalam satu kenyataan.
Kenyataan tu ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung KEADILAN (Saifuddin Nasution) Amanah (Hatta Ramli), DAP (Anthony Loke), dan Upko (Nelson Anggang).
Mereka turut memetik pandangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM Rais Yatim bahawa Azam perlu bercuti.
Mengulas lanjut, mereka turut mengkritik Azam kerana melibatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu dihadapinya itu.
"Perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi YDP Agong ke dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.
"Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan," tambah mereka.
Azam terlibat dalam kontroversi berhubung pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam - Excel Force MSC Berhad dan Gets Global Berhad - pada 2015 dan 2016 ketika dia adalah ketua siasatan SPRM ketika itu.
Azam perlu bercuti sehingga siasatan selesai |
Azam menegaskan bahawa dia telah memindahkan saham itu kepada Nasir dan dengan itu tidak melakukan "apa-apa kesalahan".
Bagaimanapun, ia mengundang kepada lebih banyak kritikan, selain persoalan sama ada Azam telah melanggar peraturan perdagangan saham.