Dana yayasan : Mahkamah perintah Presiden Umno bela diri


PRESIDEN
Umno, Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta milik Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini setelah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Sequerah berkata, Zahid mempunyai tiga pilihan dalam melakukan pembelaan – beliau boleh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Bekas timbalan perdana menteri ketika era pentadbiran Najib Razak itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Sementara itu hakim menegaskan bahawa Zahid tidak layak diberi ‘kekebalan’ daripada pendakwaan dengan alasan beliau secara jujur telah mendedahkan semua transaksi berhubung Yayasan Akalbudi.

“Selepas mempertimbangkan hujah, saya dapati tiada merit dan tertuduh tidak layak mendapat kekebalan,” katanya.

Terdahulu, peguam Zahid berhujah bahawa anak guamnya harus diberi kekebalan di bawah Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Peruntukan yang dimansuhkan pada 1 Okt 2018 menyatakan bahawa sesiapa yang mendedahkan maklumat atau mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak berkuasa tidak akan didakwa.

Pihak pembelaan berhujah bahawa pegawai SPRM merekodkan kenyataan Zahid antara 2 dan 3 Julai 2018 dan beliau memberikan butiran mengenai penubuhan yayasan itu, sumber dananya dan butiran peribadi dirinya dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa “kekebalan” yang dibangkitkan oleh Zahid adalah percubaan untuk membatalkan semua pertuduhan.

Zahid diperintah bela diri
Katanya, Zahid sepatutnya memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk menentukan sama ada beliau berhak mendapat kekebalan daripada pendakwaan.

Daripada 47 pertuduhan itu, Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 12 pertuduhan berkaitan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.
 

Post a Comment

0 Comments