DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pindaan terhadap Perkara 49 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang dibawakan Menteri Besar, Aminuddin Harun itu diluluskan selepas mendapat sokongan 32 daripada 36 ADUN dengan empat lagi tidak hadir bagi sesi pengundian itu.
Menurut Aminuddin, pindaan tersebut adalah bagi mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) untuk tujuan sama.
Jelasnya, jika kerajaan negeri tidak meminda undang-undang berkenaan untuk mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan maka beberapa implikasi akan timbul sekiranya pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan serentak.
“Ia termasuk kejanggalan dari segi perbezaan umur minimum calon yang boleh bertanding sebagai ADUN sekiranya enakmen itu tidak dipinda selain pelaksanaan yang tidak seragam dengan negeri lain yang telah terlebih dahulu membuat pindaan tersebut.
“Selain itu, petisyen pilihan raya boleh difailkan untuk mencabar keputusan Pegawai Pengurus kelak sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya.
Pindaan itu mendapat sokongan dari beberapa ADUN termasuk pembangkang.
ADUN rantau dari Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan menyambut baik pindaan itu dengan menyifatkan golongan muda adalah penentu masa depan negara dan penglibatan dalam politik penting dalam pembinaan negara bangsa.
Pindaan dibawa Aminuddin lulus sebulat suara |
Manakala Anthony Loke Siew Fook (DAP-Chennah) pula berkata, pindaan tersebut merupakan langkah tepat seiring dengan perkembangan politik semasa dan generasi muda bakal menentukan hala tuju negara dengan lebih dinamik pada masa hadapan.
0 Comments