Seorang lagi penasihat khas Ismail Sabri dalam proses lantikan.


MENTERI
di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad membuat pendedahan mengejutkan di Dewan Rakyat semalam.

Ketika menjawab pertanyaan Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), beliau berkata, kerajaan masih dalam proses lantikan Penasihat Khas Kesihatan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Latiff berkata, anggaran kos bulanan bagi satu pejabat penasihat khas termasuk pegawai adalah RM50,000.

“Kos ini termasuklah bayaran gaji dan emolumen penasihat khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat berkenaan.

“Penasihat-penasihat yang dilantik ini adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan dengan skop tugas mereka yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini dikritik setelah pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama kepada Ismail.

Selain warganet, pelantikan itu juga dipertikai Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng susulan ia dilakukan ketika negara berdepan krisis ekonomi.

Tindakan Ismail melantik penasihat walaupun mempunyai barisan kabinet yang ramai jelasnya hanya menambah beban kewangan negara.

“Adakah Ismail tidak menaruh kepercayaan kepada Jemaah Menteri untuk memberi maklum balas yang diperlukan atau adakah mereka langsung tidak kompeten?

“Sekiranya mereka tidak mampu menunjukkan prestasi baik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pegawai yang boleh memberi nasihat kepada Perdana Menteri. Justeru, ia hanya membuktikan Ismail tidak lagi yakin dengan sesiapa pun dalam Kabinetnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Selain Jamil, seorang lagi penasihat khas kepada Ismail adalah Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang berperanan menasihati Ahli Parlimen Bera itu berhubung isu undang-undang dan hak asasi manusia.

Selain penasihat, PM turut melantik duta khas
Untuk rekod, dibawah Jabatan Perdana Menteri, isu berkaitan undang-undang dipertanggungjawabkan kepada Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai menteri berkaitan.

Manakala Senator Idris Ahmad dipertanggungjawabkan sebagai menteri berkaitan hal ehwal agama dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Post a Comment

0 Comments