Ahli Parlimen HARAPAN mahu Dewan Rakyat bahas isu harga barang


AHLI-AHLI
Parlimen dari blok pembangkang menggesa supaya usul berkaitan kenaikan harga barang dibahas pada sesi persidangan Dewan Rakyat, dan bukannya dirunding secara terhad di Kamar Khas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul itu melibatkan kepentingan orang ramai memandangkan kenaikan harga barang pada masa ini menyebabkan rakyat menghadapi kesusahan.

Malah ia bukan hanya melibatkan satu kementerian, tetapi lebih dari itu.

“Isu melibatkan harga barang tidak melibatkan hanya KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tetapi kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, kementerian berkaiatan ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Ini adalah krisis nasional, sebab itu ia tidak boleh dibincang di Kamar Khas kerana terbatas. Apakah ada jaminan bahawa keempat-empat menteri ini akan hadir di Kamar Khas?” katanya.

Anwar sebelumnya menggesa Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon mengkaji semula keputusan membenarkan usul dibahas di kamar khas.

Sebelumnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub (HARAPAN - Pulai) membawakan usul berkenaan selepas sesi soal jawab pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, isu kenaikan harga barang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana rakyat sedang menanti tindakan segera daripada kerajaan.

Sebagai rekod, Anwar bersama bekas timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil semalam meninjau pasar pagi dan bertemu peniaga di Kampung Kerinchi bagi menyelami sendiri isu kenaikan harga bahan mentah.

Beliau mendakwa, hasil tinjauannya di lapangan, ramai rakyat miskin yang berpendapatan rendah (B40) tidak makan lagi sayur dan ayam “selama berminggu-minggu”.

“Kerajaan perlu beri ketegasan segera, iaitu hari ini atau esok untuk redakan tekanan rakyat,” katanya.

Pandangan Anwar disokong beberapa ahli Parlimen lain antaranya Datuk Mahfuz Omar (HARAPAN-Pokok Sena) yang mencadangkan supaya perbahasan peringkat Jawatankuasa untuk kementerian dihadkan sehingga 5.30 petang bagi membolehkan isu harga barang dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

Selain itu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (HARAPAN-Hulu Langat) pula berkata, perbincangan di Kamar Khas bersifat sehala kerana tiada aspek perbahasan dan perdebatan, manakala Sim Chee Keong (HARAPAN-Bukit Mertajam) meminta supaya cadangan Anwar dipertimbangkan kerana terdapat banyak aduan oleh rakyat dan peniaga kecil berhubung isu itu.

Menyokong perkara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (HARAPAN-Kulim Bandar Baharu) berkata, perlunya ada ketetapan segera oleh Speaker bagi memberi gambaran bahawa institusi Parlimen sangat prihatin terhadap masalah dan kepentingan rakyat.

Rakyat menanti tindakan segera kerajaan
Salahuddin sebelum itu menarik perhatian Dewan Rakyat dengan membacakan usul itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan beliau mengatakan telah menerima surat rayuan daripada seorang peniaga kecil pada Selasa lepas meminta ia diserahkan kepada KPDNHEP agar harga barang dapat diturunkan.

"Sehubungan itu, antara isu yang menjadi perhatian saya adalah perkara ini perlu disegerakan kerana isu kenaikan harga barang asas seperti dilaporkan akhbar rasmi, dan saya dengar rintihan orang ramai, serta isu ini juga dibangkitkan ahli-ahli Parlimen di Dewan ini, maka saya rasa perlu mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan," katanya.

Post a Comment

0 Comments