KEADILAN terbuka bincang idea gabung dengan Amanah


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa cadangan untuk menggabungkan dua parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN), iaitu KEADILAN yang ditunjanginya bersama Amanah sudah dikemukakan.

Dipetik laporan media Anwar berkata, walaupun pihaknya terbuka untuk melaksana cadangan bagi kebaikan kedua-dua parti, namun pimpinan tertinggi parti belum mengusulkan perkara itu untuk dibincangkan.

“Ya, ia dikemukakan dan ia dalam pengetahuan pimpinan Keadilan (KEADILAN) dan Amanah. Tetapi kami belum bincang perkara ini lebih lanjut

“Apa pun pandangan kita dengar, kita bincang tiada masalah, tapi belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya.

Anwar sebelumnya ditemui media selepas melawat pasar pagi di Taman Bukit Angkasa, Kg Kerinchi di Lembah Pantai.

Terdahulu, seorang penganalisis politik mencadangkan penggabungan kedua parti berkenaan.

Dalam satu temu bual di sebuah program televisyen, Wong Chin Huat berkata, cadangannya agar kedua-dua parti terbabit bergabung sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15 kerana penting untuk parti terbabit mengukuhkan undi Melayu.

"Sementara ramai orang Melayu berasa lesu dan keliru dengan kemunculan semakin banyak parti dan faksi, KEADILAN dan Amanah - yang tidak terlalu berbeza arah tujuannya - boleh membuat pertimbangan untuk bergabung demi mencapai sinergi terutamanya di kawasan marginal," katanya.

Chin Huat juga menambah, tanpa penggabungan itu sukar untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) bersaing dengan BN atau Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua parti turut bercakap mengenai pembaharuan serta kestabilan.

Sebagai respon kepada cadangan itu, bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor,  Najwan Halimi pula berkata, cadangan itu mempunyai asas untuk dipertimbangkan.

 Belum dibincangkan ke peringkat tertinggi


Kedua-dua parti jelasnya mempunyai hala tuju politik yang sama – contohnya, dalam menegakkan agenda reformasi, keadilan sosial dan memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat.


“Kemasukan Amanah ke dalam KEADILAN pastinya akan membantu meningkatkan sokongan dan membina keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu di kawasan luar bandar dalam usaha memenangi sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang,” kata Najwan dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial. .

“Melalui penggabungan itu, sudah pasti akan wujud jentera yang disatukan untuk kedua-dua parti di peringkat akar umbi, sekali gus menyelesaikan isu peruntukan kerusi yang selama ini menjadi cabaran kepada kedua-dua parti.” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments