MAHKAMAH TINGGI Johor Bahru membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak ke atas harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas Exco Kerajaan Johor Abdul Latif Bandi, anak dan menantunya.
Dipetik laporan Bernama, harta berkenaan membabitkan 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline dan Toyota Vellfire serta Honda HRV.
Selain itu, terdapat 16 jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 item barangan kemas, selain mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membacakan penghakimannya berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan serta bertulis semua pihak.
“Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden,” katanya.
Susulan keputusan itu, ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019 yang memerintahkan semua harta disita, dikembalikan kepada pemilik berdaftar.
Sementara itu, Hakim juga menegaskan bahawa mahkamah berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd Rauf dan Mohd Fauzan Hatim Abd Latif.
“Mahkamah berpendapat perayu telah membuktikan semua harta yang terbabit diperoleh daripada hasil haram iaitu rasuah. Mahkamah juga berpuas hati tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit
“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk melucut hak semua harta terbabit,” katanya.
Namun pada 6 Nov lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abd Latif membela diri terhadap 33 pertuduhan rasuah dan empat dakwaan pengubahan wang haram, empat tahun lalu.
Arahan bela diri atas pertuduhan sama itu turut membabitkan anak lelakinya Mohd Fauzan dan perunding hartanah Amir Shariffuddin.
Abu Bakar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selain mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh.
Kes tersebut undang kemurkaan Sultan Johor |
Ia dipercayai berkaitan tindakan menukar status hartanah yang dikhaskan untuk bumiputera kepada bukan bumiputera.
0 Comments