Longgokan kayu di Telemong datang dari mana?


PENGERUSI
  Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang, Fuziah Salleh mempersoalkan longgokan batang kayu hanyut di Sungai Telemong dalam kejadian banjir lumpur pada 18 Disember lalu.

Katanya, longgokan batang kayu itu boleh dilihat dengan jelas begitu banyak di Kampung Sri Telemong, Karak dan ia membangkitkan persoalan dari mana longgokan itu datang.

“Beribu-ribu batang kayu hanyut sewaktu banjir. Persoalannya, bagaimana kayu-kayan ini boleh sampai ke sini? Dari mana ianya datang?” lapor Suara Keadilan hari ini.

Sebelum ini gambar batang kayu hanyut yang memenuhi Kampung Sri Telemong, Karak selepas banjir surut tular di media sosial.

Disebalik persoalan orang ramai, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang tampil dengan kenyataan bahawa tiada aktiviti pembalakan, sebaliknya ia adalah kesan daripada fenomena kepala air.

Kenyataan itu walau bagaimanapun dipersoalkan banyak pihak terutama warganet.

Sebanyak 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan pula tampil menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut itu.

Rakyat tertanya-tanya kayu datang dari mana
“Kepala air itu memang fenomena semula jadi.

“Cuma longgokan kayu itu, dari mana pulak datangnya. Sungguh cantik dan kemas ‘kepala air’ memotong kayu balak ini.

“Apa jawapan JPNP? Satu siasatan khas wajib dimulakan,” tegas Fuziah yang juga adalah Ahli Parlimen Kuantan itu lagi. 

Post a Comment

0 Comments