Bercakap dalam satu program di Facebook Jom Channel Rabu lalu, Khalid tidak menafikan sememangnya wujud ketidakcekapan dalam menangani bencana banjir terutama di Selangor baru-baru ini.
“Sampai hari ini kita agak susah nak cari jawapan kenapa tindakan dari kerajaan agak lambat.
“Kita tak faham kenapa peranan pihak berwajib itu tidak seperti mana kita lihat dahulu. Dahulu bila banjir besar di Kelantan, rakyat banyak turun membantu. Tapi pada masa sama kita nampaklah peranan agensi-agensi kerajaan. Hanya kali ini atas sebab kerajaan yang ada tak cekap, Kabinet besar dan ramai, mereka tak tahu apa nak buat.
“Itu yang kita rasa terkilan kerana perdana menteri ada peluang untuk menjelaskan tapi semua macam tak sanggup," tegasnya sambil mempersoal di mana aset-aset kerajaan yang selama ini gah ditunjukkan pada rakyat.
Beliau sementara itu turut menyatakan rasa kesal apabila sidang khas Parlimen bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang ditangguhkan, tidak ditukar dengan agenda membahaskan isu meruncing berkenaan banjir di Selangor.
Menurutnya, perdana menteri sepatutnya memberi penjelasan dalam sidang khas Parlimen untuk menjelaskan situasi sebenar mengapa tentera lewat dikerahkan, namun kesemua menteri Kabinet didakwa seperti mengelak berbuat demikian.
“Ini bukan soal nak salahkan Speaker (yang tak membenarkan isu banjir dibahas) tapi lebih kepada menteri-menteri tidak sanggup. Mereka semua pun nak mengelak,” katanya dalam program bicara Yb Khalid Samad membincangkan topik ‘Pengurusan banjir: Di mana silapnya?.
Di mana silapnya pentadbiran Ismail? |
Susulan itu 77 Ahli Parlimen pembangkang mewakili pelbagai parti menuntut agar satu suruhanjaya khas dibentuk bagi menjalankan bedah siasat ke atas pengurusan banjir di Lembah Klang.
0 Comments