HARAPAN gesa sidang khas parlimen dan RCI siasat isu banjir


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) membuat gesaan kepada kerajaan supaya satu sidang khas Parlimen khusus diadakan untuk membahaskan isu banjir yang meragut banyak nyawa baru-baru ini.
 
Majlis Presiden HARAPAN melalui satu kenyataan bersama berpendirian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya mesti memberi penjelasan penuh isu berkenaan yang menjejaskan ramai orang.

Kata mereka ruang yang terbaik untuk berbuat demikian ialah melalui sidang khas parlimen.

"Pada masa yang sama, kami turut berpandangan kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja selaras dengan titah baginda bahawa satu pascanilai (postmortem) banjir besar perlu dilakukan, termasuk juga untuk Sabah dan Sarawak," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan En, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Mengulas lanjut, Majlis  tersebut menegaskan sidang khas parlimen serta penubuhan RCI  diperlukan bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi.

"Ini termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan," kata mereka.

Selasa lalu, Hannah membuat gesaan supaya uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang telah memberi amaran bahawa enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur antara Okt 2015 dan Sept 2020.

Enam kolam takungan berkenaan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Kelemahan perlu dicari dan diperbaiki


Mengikut rancangan awal, kolam Batu, kolam Nanyang dan kolam Delima adalah sebahagian daripada projek kolam tebatan banjir Sungai Jinjang yang boleh menakung sehingga 2.5 juta meter padu air banjir.


Enam kolam takungan itu sebaliknya diasingkan untuk projek pembangunan, seperti projek pembangunan bercampur, skim perumahan mampu milik, taman rekreasi dan pangsapuri perkhidmatan.

Post a Comment

0 Comments