Lepas harga barang asas meningkat, harga makanan pula bakal naik

SELEPAS harga beberapa barang keperluan asas meningkat secara mendadak, kini pelanggan restoran bakal berdepan kenaikan harga makanan dan minuman.

Dipetik laporan Malaysiakini semalam, persatuan mewakili pengusaha makanan telah menyatakan hasrat menaikkan harga makanan dan minuman itu bermula tahun hadapan.

Mereka memberi alasan kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos bahan mentah dan barangan yang melambung tinggi.

Persatuan Pengusaha Muslim Malaysia (Presma), yang mewakili 9,000 restoran, berkata sesetengah mereka mencadangkan kenaikan harga 10 peratus bagi setiap menu untuk menampung kenaikan kos 30 peratus harga barang.

Presidennya Jawahar Ali Taib Khan berpendapat rangkaian kedai makan di Lembah Klang dan di lokasi utama mungkin perlu menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 20 sen.
 
"Kami telah dapat mengekalkan harga selama lebih tiga tahun.

"Tetapi yang pasti kami akan mengenakan kenaikan menjelang tahun depan, pada kadar yang munasabah. Kami akan minimumkan kenaikan kami," kata Jawahar dipetik.

Dipetik laporan sama, sesetengah restoran sedia ada telah pun menaikkan harga makanan dan minuman sebanyak 10 peratus.

Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) yang mewakili 1,500 ahli percaya ada antara ahlinya telah menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual di premis mereka.

"Harga bahan dan barangan yang kami beli meningkat 50 hingga 100 peratus," kata naib presiden Primas C Krishnan.

Terdahulu isu berkaitan harga barang keperluan asas menjadi perhatian setelah beberapa jenis sayuran dilapor mengalami peningkatan harga, perkara sama turut membabitkan ayam, telur, bawang dan beberapa barangan lain.

Beberapa syarikat, termasuk Nestlé (Malaysia) Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd juga dilapor telah menaikkan harga runcit produk tertentu ketika ekonomi kembali rancak ekoran sekatan akibat Covid-19.

Presma cadang kenaikan sehingga 10 peratus
Kerajaan dikritik kerana dilihat lambat mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu tersebut.

BACA: Barang mahal , rakyat hendak 'mentekedarah' apa?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob meletak keutamaan yang salah apabila membiarkan perkara itu terus meruncing sehingga rakyat terutama golongan tidak berkemampuan berada dalam keadaan semakin menekan.

Post a Comment

0 Comments