Barang mahal , rakyat hendak 'mentekedarah' apa?

KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang menurutnya lewat menguruskan isu kenaikan harga barangan keperluan asas.

Pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mempersoal tindakan kerajaan yang hanya mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup bagi membincangkan isu itu pada Khamis ini.

Tegas Anwar, kelewatan itu tidak dapat diterima kerana isu kenaikkan harga barangan itu sudah berlaku sejak beberapa minggu lalu sudah meruncing dan mesyuarat tersebut diadakan agak lewat.

“Itu menampakkan satu kecuaian dan salah keutamaan oleh kerajaan. Kerana, walaupun disebut pelbagai langkah diambil, termasuk import 200 kontena ayam - walaupun kita nak tahu siapa dapat permit import ini - kenyataannya ialah, dengan semua langkah diambil itu, langsung tidak berkesan.

"Jawatankuasa Kabinet belum bersidang.

“Majlis Tindakan Sara Hidup baru akan bersidang. Jadi rakyat ketika ini, hendak 'mentekedarah' apa dalam keadaan tertekan begini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen blok pembangkang berang dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)  Mustapa Mohamed berhubung itu berkenaan.

“Kata pantau sedangkan kerajaan tak payah pantau, harga cili di Kuching (Sarawak) RM36 dan semua orang tahu.

"Yang kita nak tahu apakah tindakan segera yang diambil? Menteri ada mesyuarat nanti tapi saya kata ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Kabinet kerana satu kementerian tidak mampu menyelesaikan perkara ini.

“Kenapa mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup baru nak diadakan pada 9 Disember nanti dan keduanya, bila Jawatankuasa Kabinet berkenaan akan bersidang kerana ia melibatkan banyak kementerian?

“Jawapan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dia jawab mewakili kemnterian dia sahaja, belum melibatkan Kabinet. Ia tidak melibatkan menteri ekonomi dan kewangan,” kata Anwar lagi.

Dalam Dewan rakyat Anwar turut  menyindir golongan kartel yang dianggap sebagai punca masalah hampir semua isu.

Barang mahal, rakyat nak makan apa?
“Saya minta supaya tindakan diambil tetapi menteri sebut ada banyak masalah, kononnya ada kartel dan monopoli. Jadi selesaikan la masalah itu. Kenapa tidak ambil tindakan? Mengapa tidak ada keupayaan, kekuatan dan kesediaan untuk mengambil tindakan?

“Kalau benar disebut tentang hal itu tentang kartel, menteri sepatutnya bertindak. Kartel memang masalah dalam semua hal tidak kira politik atau ekonomi,” katanya dipetik.
 

Post a Comment

0 Comments