Kerajaan dituntut jelaskan mengapa lewat selamatkan mangsa banjir


SIDANG Dewan Rakyat semalam kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen terutama dari Pakatan Rakyat mempersoal Isu kelewatan operasi menyelamat mangsa banjir.

Isu itu awalnya dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu yang kawasannya turut terkesan dengan bencana banjir hujung minggu lalu.

Mohamad memberitahu beliau telah terkandas selama lapan jam di stesen minyak, menyebabkan tidak dapat pergi membantu penduduk di kawasannya yang terjejas.

“Ramai nelayan ingin menawarkan bot-bot mereka untuk tujuan menyelamat. Tetapi bot nelayan tak sesuai untuk operasi sebegitu. Saya sendiri tersangkut lapan jam di stesen minyak.

Ramai tanya mana wakil-wakil rakyat, tetapi kami sendiri pun terkandas.

“Di mana bot penyelamat dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan yang lain-lain?” soal bekas Menteri Pertahanan itu dalam Dewan.

Mohamad menambah, walaupun percaya penjawat awam dan unit beruniform cekap dan penuh pengalaman namun mereka sukar dan lambat bekerja kerana kelewatan menerima arahan daripada atas.

Dalam dewan sama, Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bangkit meminta penjelasan Kerajaan tentang langkah-langkah segera menangani isu banijr, yang telahpun mengakibatkan kematian.

“Saya berharap agar ada menteri bertanggungjawab untuk memberi penjelasan tentang langkah-langkah segera kerajaan tentang isu ini, yang telah memberi kesan terhadap puluhan ribu rakyat.

“Walaupun ini adalah permintaan yang tergempar, tetapi saya harap ada seorang menteri bertanggungjawab, atau menteri berkaitan untuk jelaskan tentang jenis-jenis bantuan jangka pendek bagi membantu rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, mangsa banjir di beberapa kawasan meminta pertolongan daripada orang awam dan pertubuhan sukarelawan melalui media sosial.

Selain ramai meminta diselamatkan, sebahagian yang lain memohon bekalan makanan dan susu bayi, ubat-ubatan untuk warga emas atau meminta mana-mana orang memeriksa kanak-kanak di rumah yang tinggal bersendirian kerana ibu bapa mereka terperangkap akibat banjir.
 
BACA: Anwar redah air cari cara tangani banjir 

Media sosial turut dipenuhi perkongsian gambar mangsa yang berada di atas bumbung menunggu untuk diselamatkan, selain gambar orang awam mengambil risiko membantu penduduk dan haiwan.

Lebih mengharukan beberapa mangsa berkongsikan gambar keluarga mereka yang uzur menunggu bantuan sambil terendam dalam air banjir.

Mangsa minta pertolongan melalui media sosial


Walaupun beberapa kawasan mula dinaiki air pada Jumaat, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob didakwa lambat bertindak.


Difahamkan, hanya pada malam Sabtu, Ismail mengumumkan pengerahan lebih banyak anggota dan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa.

Post a Comment

0 Comments