SUSULAN kenyataannya berkaitan isu kenaikan harga barang, Exco Pertanian negeri Perak dari PAS, Razman Zakaria ditempelak.
Pemuda AMANAH Perak, melalui Pengarah Komunikasinya Ikhmal Iskandar berkata, respon Razman yang menggesa rakyat supaya menerima hakikat kenaikan harga barang terutama harga sayur – sayuran dan mengganggapnya sebagai hal yang tidak boleh dielakkan selagi kita hidup adalah kenyataan biadap.
Malah kenyataan itu juga menurut Ikhmal dilihat sebagai sikap lepas tangan untuk bertanggungjawab tentang sebarang kenaikan harga barang.
“Sebarang kenaikan yang tidak dapat dibendung perlu ditangani segera agar rakyat tidak terus dibebankan apatah lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir,” tegasnya dalam kenyataan.
Razman dalam sidang DUN Perak berkata, selagi mana manusia ini hidup isu harga barang naik tidak akan selesai.
“Kita harus sedar perkara kenaikan harga ini tidak akan selesai selagi kita hidup. Oleh itu kita kena terima fact (hakikat).
“Kita boleh mainkan isu harga barang macam kangkung boleh naik sampai 200 peratus,” kata Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi.
Sebagai rekod, Razman sebelum ini ditempelak seorang ADUN dari KEADILAN semasa sidang DUN Perak.
Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang merupakan ADUN Hulu Kinta mendakwa, sepanjang dewan bersidang, tiada tindakan yang diambil oleh Razman dalam menangani isu berkenaan di peringkat negeri.
“Kita tak nampak, apa Exco telah lakukan?
"Ada tak pernah buat pertemuan dialog bersama dengan peruncit-peruncit? Ada tak buat pertemuan dialog bersama pengusaha-pengusaha? Ada tak pertemuan dialong bersama pemborong-pemborong untuk melihat di mana masalah sebenarnya?” soal Muhamad Arafat.
Ketika sidang itu juga Mihamad Arafat membuat gimik protes harga barangan dengan 'menghadiahkan' seekor ayam segar kepada Razman.
“Hadiah kepada (ADUN) Gunung Semanggol sebab resit ini, ayam ini dari Gunung Semanggol, saya beli dekat sana.
Kenyataan Razman dianggap tak bertanggungjawab |
Sementara itu, Pemuda AMANAH negeri Perak dalam kenyataan mereka turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membeli terus hasil pertanian dan ternakan dalam mengurangkan peranan orang tengah serta menjual semula melalui saluran Pasar Tani.
“Kaedah ini dilihat mampu menstabilkan harga barang seraya mengurangkan sehingga 30 peratus harga barang daripada harga pasaran.
“Semoga rakyat tidak terus terbeban dan Exco tidak celupar mulut dalam memberi jawapan di dalam sidang Dun,” tambah mereka.
0 Comments