BLOK pembangkang menolak untuk menyokong Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dibentangkan untuk bacaan pertama semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan menolak RUU itu kerana tidak bersetuju dengan jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan.
Lebih membimbangkan jelasnya, ia mungkin membuka ruang berlaku salah guna kuasa, rasuah, serta amalan “antara dua darjat”.
“Dewan Rakyat difahamkan RUU ini bakal dibahas pada Khamis ini, iaitu hari terakhir sidang Parlimen bagi tahun ini.
“Setelah memperinci keseluruhan RUU ini, mendengar pandangan Ahli-Ahli Parlimen dan respons rakyat yang sangat gusar dengan jumlah denda dan kompaun keterlaluan yang mungkin membuka ruang berlaku salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘antara dua darjat’, saya dan saf pembangkang tidak boleh menyokong RUU ini dalam bentuk yang telah dibentang,” katanya melalui satu kenyataan.
RUU itu antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu melakukan kesalahan bawah peraturan berkenaan.
Mengikut rang undang-undang itu, individu melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.
BACA: Nilai kompaun RM1,000 program k'jaan dipersoal
Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.
Bimbang berlaku 'amalan dua darjat' |
Sementara itu tambah Anwar, pendirian pembangkang itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.