AHLI PARLIMEN Pulai, Teo Nie Ching mempersoal apakah alasan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melantik penasihat khas baru dalam bidang kesihatan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata bahawa selain Ismail, Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Khairy Jamaluddin perlu menjelaskan alasan pelantikan penasihat khas selepas kedua-dua pemimpin berkenaan kini mempunyai tiga orang penasihat tersendiri.
“Adakah perkara ini menunjukkan kekurangan kepercayaan perdana menteri sendiri pada menteri dan kementerian beliau?
“Kalau begitu, lebih baik PM gantikan menteri sekarang dengan penasihat khas yang dicadangkan,” katanya.
Sebagai rekod, Ismail kini dibantu dua penasihat khas iaitu Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang menasihati Ismail dalam isu Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini dalam Dewan Rakyat memaklumkan bahawa seorang lagi Penasihat Khas baru dalam bidang kesihatan sedang dalam proses lantikan.
Selain Khairy sebagai menteri Kesihatan, Ismail turut melantik Dr Noor Azmi Ghazali sebagai timbalan menteri kesihatan I dalam kabinetnya dan Aaron Ago Dagang sebagai tinbalan menteri kesihatan II.
Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Dimistra Steven Sittampalam; dan Datuk Mohamad Iruan Bin Zulkefli pula dilapor media telah dilantik sebagai penasihat khas KKM.
Perlukah lantik terlalu ramai penasihat? |
“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka yang amat diperlukan oleh KKM?
“(Jelaskan) gaji, elaun dan sebagainya yang diterima oleh ketiga-tiga penasihat khas ini,” katanya.
0 Comments