Keputusan rayuan sabitan Najib diketahui hari ini


KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan berhubung rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International bernilai RM42 juta bakal diketahui hari ini.

Ia susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan bekas perdana menteri untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan itu semalam.

“Kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan.

“Tiada keadaan luar biasa atau syarat luar biasa ditunjukkan untuk mahkamah mengambil keterangan tambahan dalam rayuan.

“Permohonan ditolak. Penyampaian keputusan (keputusan rayuan SRC Najib) esok (Rabu) akan diteruskan seperti yang ditetapkan," kata Abdul Karim.

Abdul Karim disertai Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan dan hukuman bersalah, berikutan perbicaraan penuh tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC terhadap Najib.

Bagaimanapun, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu penyelesaian rayuan Najib di Mahkamah Rayuan.

Pada Rabu lalu, Najib, 68, memohon untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dakwanya bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho.

Permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik suami Zeti iaitu Tawfiq Ayman.

Bagaimanapun pihak pendakwaan pada Isnin mendakwa permohonan Najib dalam rayuannya itu sebagai usaha bagi melenggahkan keputusan kes itu.

Pendakwaan berhujah permohonan ini adalah bagi melengah-lengahkan keputusan rayuan (bagi kes pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan) dengan membuka semula keseluruhan kes seperti yang dapat dilihat dalam perintah yang dipohon," kata Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed.

Semalam Najib hadir pada prosiding yang diadakan secara dalam talian setelah Mahkamah pada paginya mengeluarkan amaran kepada Ahli Parlimen Petang itu untuk menghadiri prosiding berikutan ketidakhadirannya secara fizikal.

Apa nasib Najib hari ini?
Dalam surat yang difailkan dan dialamatkan kepada pendaftar Mahkamah Rayuan sebelumnya, peguam Shafee Abdullah yang mewakili najib memohon mengosongkan pendengaran pada Selasa dan Rabu, selepas seorang individu daripada pasukan pembelaan dakwanya telah disahkan positif Covid-19, susulan tiga kali ujian saringan.

Ia selepas ibu kepada seorang lagi peguam Najib disahkan positif virus itu awal hari ini, menyebabkan semua peguam di firma itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
 

Post a Comment

0 Comments