Mahkamah tolak permohonan Zuraida batal saman RM10 juta

 


PERMOHONAN Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamruddin untuk membatalkan tuntutan saman RM10 juta terhadapnya kerana meninggalkan parti KEADILAN ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar semasa menolak permohonan Zuraida berkata,  mahkamah berpendapat bahawa terdapatnya kausa tindakan yang jelas terhadap defendan.

"Mahkamah berpendapat bahawa terdapatnya perkara yang boleh dibicarakan dalam tuntutan ini. Tuntutan ini bukanlah suatu tuntutan yang tidak jelas tidak mampan yang boleh dibatalkan di bawah Aturan 18.k.19 KKM 2021.

"Isu berkaitan bon yang ditandatangani oleh defendan pada 25 April 2018 lalu yang perlu diperjelaskan dengan perbicaraan penuh,” kata Latifah.

Terdahulu KEADILAN melalui Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution pada 2 Okt 2020 mengemukakan saman terhadap Zuraida dan 10 ahli parlimen lain dari parti itu yang berpaling tadah dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum bertanding dalam PRU ke-14 pada 2018 semua calon dari parti itu menandatangani ikrar untuk membayar denda RM10 juta jika mereka meninggalkan parti berkenaan selepas terpilih sebagai wakil rakyat.

Namun, Zuraida diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali bersama sembilan ahli parlimen lain bertindak meninggalkan parti itu pada akhir Feb 2020 melalui satu gerakan politik dikenali sebagai 'Langkah Sheraton'.

Sementara itu dalam keputusannya juga Latifah menegaskan bahawa Zuraida selaku defendan perlu memberi keterangan kenapa dia menandatangani bon tersebut dan apakah tujuan bon tersebut ditandatangani dan jika terdapatnya syarat-syarat yang tersirat.

“Bagi mencapai keputusan yang adil, mahkamah berpendapat adalah tidak wajar tuntutan ini dibatalkan pada peringkat ini.

Zuraida turut diperintah bayar kos
"Perlunya keterangan saksi-saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan bon tersebut dilaksanakan," katanya lagi.

Susulan keputusan itu, Mahkamah turut mengenakan kos RM5,000 terhadap Zuraida yang adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung permohonan membatalkan saman itu yang tertakluk kepada fi alokatur.

Post a Comment

0 Comments